KEJADIAN 8:15-22
KEJADIAN 8:15-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.” Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya. Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati, “Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”
KEJADIAN 8:15-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya. Seterusnya keluar pula dari bahtera itu menurut jenisnya segala haiwan liar, segala binatang melata, segala burung, iaitu semua yang bergerak di bumi. Lalu Nuh mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN. Maka dia mengambil beberapa ekor daripada setiap binatang yang halal dan daripada setiap jenis burung yang halal, lalu dipersembahkannya korban bakaran di atas mazbah itu. TUHAN menghidu persembahan yang harum itu. Maka berfirmanlah TUHAN dalam hati-Nya, “Aku tidak akan melaknati bumi ini lagi atas sebab kemungkaran manusia. Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia, Aku tidak akan lagi membinasakan segala yang hidup seperti yang telah Kulakukan. Selama bumi masih wujud, tidak akan putus bertali arusnya musim menabur dan musim menuai, sejuk dan panas, musim kemarau dan musim hujan, serta siang dan malam.”