KEJADIAN 8
8
Banjir Berakhir
1Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. 2Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, 3lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. 4Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. 5Air semakin surut dan pada hari pertama bulan kesepuluh, puncak-puncak gunung mula kelihatan.
6Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera 7lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. 8Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. 9Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. 10Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. 11Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. 12Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali.
13Ketika Nuh berumur 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering. 14Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering.
15Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, 16“Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. 17Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.” 18Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. 19Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya.
Nuh Mempersembahkan Korban
20Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 21Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati, “Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. 22Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”
Terpilih Sekarang Ini:
KEJADIAN 8: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.