KEJADIAN 8:1-22

KEJADIAN 8:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. Air semakin surut dan pada hari pertama bulan kesepuluh, puncak-puncak gunung mula kelihatan. Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali. Ketika Nuh berumur 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering. Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering. Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.” Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya. Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati, “Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”

KEJADIAN 8:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Allah memberikan perhatian kepada Nuh dan segala binatang liar serta segala haiwan ternakan yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu. Lalu Allah membuat angin yang bertiup lantas mulalah surut air banjir itu. Tertutuplah segala mata air samudera raya; begitu jua tertutupnya pintu-pintu air di langit lantas teduh dan seterusnya terhentilah hujan yang turun dari langit. Air semakin surut dari muka bumi, dan selepas 150 hari air banjir itu sudah berkurang. Lalu pada hari ketujuh belas pada bulan ketujuh, bahtera itu pun terkandas di Pergunungan Ararat. Air terus berkurang sehingga bulan kesepuluh. Lalu pada hari pertama pada bulan kesepuluh itu puncak-puncak gunung sudah kelihatan. Empat puluh hari kemudian, Nuh membuka jendela bahtera yang dibuatnya, lalu dia melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang mundar-mandir sehingga kering air di permukaan bumi. Kemudian dia melepaskan seekor burung merpati untuk melihat seandainya telah surut sepenuhnya air dari atas permukaan bumi. Namun begitu, burung merpati itu tidak menemukan tempat untuk hinggap kerana air masih meliputi seluruh permukaan bumi. Maka kembalilah merpati itu kepada Nuh di dalam bahtera itu. Nuh menghulurkan tangannya lantas mengambil dan membawa burung itu masuk ke dalam bahtera. Setelah menunggu selama tujuh hari, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu dari bahtera. Pada petang harinya, burung merpati itu pulang mendapatkan Nuh, dan di paruhnya tersepit sehelai daun zaitun yang baru dipetik. Lalu tahulah Nuh bahawa air sudah surut dari permukaan bumi. Selepas menunggu selama tujuh hari lagi, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu, dan burung itu tidak lagi kembali kepadanya. Pada tahun 601, pada hari pertama dalam bulan pertama, air surut sepenuhnya dari permukaan bumi. Ketika Nuh membuka atap bahtera itu, kelihatan betapa permukaan tanah sudah kering. Seterusnya pada hari kedua puluh tujuh pada bulan kedua, bumi memang sudah benar-benar kering. Berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya. Seterusnya keluar pula dari bahtera itu menurut jenisnya segala haiwan liar, segala binatang melata, segala burung, iaitu semua yang bergerak di bumi. Lalu Nuh mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN. Maka dia mengambil beberapa ekor daripada setiap binatang yang halal dan daripada setiap jenis burung yang halal, lalu dipersembahkannya korban bakaran di atas mazbah itu. TUHAN menghidu persembahan yang harum itu. Maka berfirmanlah TUHAN dalam hati-Nya, “Aku tidak akan melaknati bumi ini lagi atas sebab kemungkaran manusia. Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia, Aku tidak akan lagi membinasakan segala yang hidup seperti yang telah Kulakukan. Selama bumi masih wujud, tidak akan putus bertali arusnya musim menabur dan musim menuai, sejuk dan panas, musim kemarau dan musim hujan, serta siang dan malam.”