KEJADIAN 8:1-12
KEJADIAN 8:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. Air semakin surut dan pada hari pertama bulan kesepuluh, puncak-puncak gunung mula kelihatan. Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali.
KEJADIAN 8:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah memberikan perhatian kepada Nuh dan segala binatang liar serta segala haiwan ternakan yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu. Lalu Allah membuat angin yang bertiup lantas mulalah surut air banjir itu. Tertutuplah segala mata air samudera raya; begitu jua tertutupnya pintu-pintu air di langit lantas teduh dan seterusnya terhentilah hujan yang turun dari langit. Air semakin surut dari muka bumi, dan selepas 150 hari air banjir itu sudah berkurang. Lalu pada hari ketujuh belas pada bulan ketujuh, bahtera itu pun terkandas di Pergunungan Ararat. Air terus berkurang sehingga bulan kesepuluh. Lalu pada hari pertama pada bulan kesepuluh itu puncak-puncak gunung sudah kelihatan. Empat puluh hari kemudian, Nuh membuka jendela bahtera yang dibuatnya, lalu dia melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang mundar-mandir sehingga kering air di permukaan bumi. Kemudian dia melepaskan seekor burung merpati untuk melihat seandainya telah surut sepenuhnya air dari atas permukaan bumi. Namun begitu, burung merpati itu tidak menemukan tempat untuk hinggap kerana air masih meliputi seluruh permukaan bumi. Maka kembalilah merpati itu kepada Nuh di dalam bahtera itu. Nuh menghulurkan tangannya lantas mengambil dan membawa burung itu masuk ke dalam bahtera. Setelah menunggu selama tujuh hari, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu dari bahtera. Pada petang harinya, burung merpati itu pulang mendapatkan Nuh, dan di paruhnya tersepit sehelai daun zaitun yang baru dipetik. Lalu tahulah Nuh bahawa air sudah surut dari permukaan bumi. Selepas menunggu selama tujuh hari lagi, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu, dan burung itu tidak lagi kembali kepadanya.