KEJADIAN 40:5-19
KEJADIAN 40:5-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu malam pengurus minuman dan pengurus roti itu masing-masing bermimpi. Erti mimpi mereka itu tidak sama. Apabila Yusuf datang kepada mereka keesokan paginya, mereka kelihatan muram. Oleh itu Yusuf bertanya, “Mengapa begitu muram hari ini?” Mereka menjawab, “Kami bermimpi semalam, dan tiada sesiapa pun yang mengetahui ertinya.” Yusuf berkata, “Hanya Allah yang membolehkan orang mentafsirkan mimpi. Cuba ceritakan mimpi itu.” Pengurus minuman itu berkata, “Dalam mimpi itu aku nampak pokok anggur di hadapanku. Pokok itu bercabang tiga. Sebaik saja cabang-cabangnya mula berdaun, segera bunga-bunganya berkembang, lalu buahnya masak. Pada waktu itu aku sedang memegang cawan minuman raja; oleh itu aku mengambil buah anggur itu dan memerah airnya ke dalam cawan raja, lalu aku menghidangkannya kepada raja.” Yusuf berkata, “Inilah ertinya. Tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, tuan akan dibebaskan oleh raja, diampuni dan dikembalikan kepada pekerjaan yang dahulu. Tuan akan menghidangkan cawan minuman kepada raja seperti dahulu. Tetapi ingatlah akan saya apabila keadaan tuan sudah baik. Tolong sampaikan masalah saya kepada raja supaya saya dibebaskan dari penjara ini. Sebenarnya, dahulu saya diculik dari negeri orang Ibrani. Di sini, di Mesir pun, tidak pernah saya melakukan apa-apa kejahatan sampai harus dimasukkan ke dalam penjara.” Setelah pengurus roti itu tahu bahawa erti mimpi pengurus minuman itu baik, maka dia berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi. Dalam mimpi itu aku menjunjung tiga buah bakul roti. Di dalam bakul yang paling atas terdapat bermacam-macam kuih untuk raja, tetapi burung-burung datang memakan kuih-muih itu.” Yusuf menjawab, “Inilah erti mimpi itu. Tiga buah bakul itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, raja akan menyuruh orang memenggal kepala tuan lalu menggantungkan mayat tuan pada sebatang tiang, dan burung-burung akan makan daging tuan.”
KEJADIAN 40:5-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka terjadilah pada malam yang sama, jururasa santapan serta pembuat roti raja Mesir yang ditahan di dalam penjara itu bermimpi. Mimpi mereka masing-masing memiliki erti yang berbeza. Pada pagi harinya, ketika Yusuf datang menemui mereka dan memperhatikan mereka, tampak mereka sedang bersusah hati. Maka bertanyalah Yusuf kepada para pegawai istana Firaun yang bersama-sama ditahan dengannya dalam penjara di rumah tuannya itu, “Mengapakah wajah kamu muram hari ini?” Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.” Lalu ketua jururasa santapan menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku. Pokok anggur itu bercabang tiga. Begitu pokok itu bertunas, bunganya langsung tumbuh dan tandan-tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang masak. Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.” Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsir bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam masa tiga hari ini, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan pangkatmu yang dahulu kepada kamu. Lalu kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi jururasa santapannya. Tetapi ingatlah aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini, kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu pun yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan.” Apabila kepala pembuat roti melihat kebaikan tafsiran mimpi itu, dia pun berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi: Kelihatan tiga bakul roti di atas kepalaku. Di dalam bakul teratas ada segala jenis santapan Firaun buatan pembuat roti, tetapi burung-burung memakannya daripada bakul yang ada di atas kepalaku itu.” Jawab Yusuf, “Inilah tafsiran bagi mimpimu: tiga bakul itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, Firaun akan memancung kamu dan menggantung kamu pada sebuah tiang lalu burung-burung akan memakan daging tubuhmu.”