Kejadian 40:5-19

Kejadian 40:5-19 AVB

Maka terjadilah pada malam yang sama, jururasa santapan serta pembuat roti raja Mesir yang ditahan di dalam penjara itu bermimpi. Mimpi mereka masing-masing memiliki erti yang berbeza. Pada pagi harinya, ketika Yusuf datang menemui mereka dan memperhatikan mereka, tampak mereka sedang bersusah hati. Maka bertanyalah Yusuf kepada para pegawai istana Firaun yang bersama-sama ditahan dengannya dalam penjara di rumah tuannya itu, “Mengapakah wajah kamu muram hari ini?” Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.” Lalu ketua jururasa santapan menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku. Pokok anggur itu bercabang tiga. Begitu pokok itu bertunas, bunganya langsung tumbuh dan tandan-tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang masak. Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.” Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsir bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam masa tiga hari ini, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan pangkatmu yang dahulu kepada kamu. Lalu kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi jururasa santapannya. Tetapi ingatlah aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini, kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu pun yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan.” Apabila kepala pembuat roti melihat kebaikan tafsiran mimpi itu, dia pun berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi: Kelihatan tiga bakul roti di atas kepalaku. Di dalam bakul teratas ada segala jenis santapan Firaun buatan pembuat roti, tetapi burung-burung memakannya daripada bakul yang ada di atas kepalaku itu.” Jawab Yusuf, “Inilah tafsiran bagi mimpimu: tiga bakul itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, Firaun akan memancung kamu dan menggantung kamu pada sebuah tiang lalu burung-burung akan memakan daging tubuhmu.”