KEJADIAN 4:19-24
KEJADIAN 4:19-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Lamekh mempunyai dua orang isteri, Ada dan Zila. Ada melahirkan Yabal. Keturunan Yabal ialah bangsa yang memelihara ternakan dan tinggal di khemah. Adik Yabal bernama Yubal. Keturunan Yubal ialah pemuzik yang memainkan kecapi dan seruling. Zila melahirkan Tubal-Kain. Keturunan Tubal-Kain membuat pelbagai perkakas daripada gangsa dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naama. Lamekh berkata kepada isterinya, “Ada dan Zila, dengarlah kataku. Aku sudah membunuh seorang pemuda kerana dia memukul aku. Jika tujuh orang dibunuh sebagai pembalasan terhadap orang yang membunuh Kain, tujuh puluh tujuh orang akan dibunuh jika aku dibunuh.”
KEJADIAN 4:19-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lamekh memperisteri dua orang perempuan iaitu Adah dan Zila. Adah melahirkan Yabal yakni leluhur warga yang menghuni khemah serta memelihara haiwan ternakan. Adik kepada Yabal bernama Yubal dan dia ialah leluhur bagi semua warga yang memainkan alat muzik iaitu hap dan seruling. Zila juga melahirkan anak iaitu Tubal-Kain yang menjadi seorang tukang yang menempa segala perkakas daripada tembaga dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naamah. Berkatalah Lamekh kepada isteri-isterinya, “Adah dan Zila, dengarlah apa yang kusampaikan; wahai para isteri Lamekh, amatilah percakapanku. Aku telah membunuh seorang lelaki kerana dia melukakan aku, seorang pemuda kerana dia menyakiti aku. Sekiranya Kain harus dibalas tujuh kali lipat ganda, maka bagi Lamekh seharusnya tujuh puluh tujuh kali lipat ganda.”