KEJADIAN 38:16-26
KEJADIAN 38:16-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Berapakah yang kamu minta?” Dia tidak tahu perempuan itu menantunya sendiri. Tamar menjawab, “Apakah yang tuan mahu berikan?” Yehuda berkata lagi, “Aku akan memberikan seekor kambing muda kepadamu.” Tamar menjawab, “Boleh, asal tuan memberi saya cagaran sehingga tuan mengirimkan kambing itu.” Yehuda bertanya, “Apakah yang dapat kuberikan sebagai cagaran kepadamu?” Tamar menjawab, “Berilah saya meterai tuan dengan talinya dan juga tongkat yang tuan bawa itu.” Yehuda memberikan benda-benda itu kepadanya. Kemudian mereka bersetubuh, lalu Tamar mengandung. Tamar pulang ke rumah dan membuka tudung mukanya, lalu memakai semula pakaian balu. Beberapa lama kemudian Yehuda mengutus Hira, temannya, untuk menghantarkan kambing itu dan meminta balik benda-benda yang telah diberikannya sebagai cagaran, tetapi Hira tidak dapat menjumpai perempuan itu. Hira bertanya-tanya kepada orang di Enaim, “Di manakah pelacur yang biasanya menunggu di pinggir jalan ini?” Mereka menjawab, “Tidak pernah ada pelacur di sini.” Oleh itu Hira kembali kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak dapat menjumpai perempuan itu. Menurut kata orang di sana, tidak pernah ada pelacur di situ.” Yehuda berkata, “Biarlah benda-benda itu disimpannya, asal saja kita tidak mendapat malu. Aku sudah berusaha untuk membayar perempuan itu tetapi kamu tidak dapat menjumpai dia.” Kira-kira tiga bulan kemudian Yehuda mendapat khabar bahawa Tamar, menantunya, telah berlaku sebagai pelacur dan sudah mengandung. Lalu Yehuda memerintahkan, “Bawalah dia keluar dan bakarlah sampai mati!” Sementara Tamar dibawa keluar, dia mengirimkan pesan kepada bapa mentuanya, “Saya telah dihamilkan oleh pemilik benda-benda ini. Periksalah meterai ini dengan talinya, serta tongkat ini, dan lihatlah siapa pemiliknya.” Yehuda mengenali benda-benda itu dan berkata, “Perempuan itu tidak bersalah. Aku tidak melakukan kewajipanku terhadap dia; seharusnya aku mengahwinkan dia dengan anakku Syela.” Yehuda tidak bersetubuh dengan Tamar lagi.
KEJADIAN 38:16-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu didekatinya perempuan itu di tepi jalan dan tanpa mengetahui perempuan itu menantunya, berkatalah dia, “Marilah, aku mahu tidur denganmu.” Balas perempuan itu, “Apa yang akan kauberikan kepadaku kalau kamu tidur dengan aku?” Jawabnya, “Nanti kukirimkan kepadamu seekor anak kambing dari kawanan ternakanku.” Kata perempuan itu, “Asalkan kamu memberikan jaminan sampai kamu mengirimkannya kepadaku.” Tanyanya, “Jaminan apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab perempuan itu, “Cincin materaimu, kalungmu, dan tongkat yang ada di tanganmu itu.” Maka diberikannyalah semua itu kepadanya, lalu dia menidurinya. Maka mengandunglah perempuan itu akibat kejadian itu. Lalu bangkitlah perempuan itu dan pergi dari situ. Dia menanggalkan penutup wajahnya dan memakai semula pakaian lazim seorang balu. Yehuda mengirimkan anak kambing yang dijanjikannya melalui sahabatnya, seorang Adulam itu, dan juga untuk mengambil kembali barang-barang jaminannya daripada perempuan itu. Namun sahabatnya itu tidak berjaya menemui perempuan itu. Dia bertanya-tanya kepada orang di tempat itu, katanya, “Di manakah perempuan pelacur kuil yang ada di tepi jalan dekat Enaim itu?” Jawab mereka, “Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.” Maka kembalilah dia kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak berjaya menemuinya. Apatah lagi, orang di tempat itu berkata, ‘Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.’ ” Kata Yehuda, “Biarlah barang-barang itu diambilnya, supaya kita tidak diketawakan orang. Sesungguhnya, aku sudah mengirimkan anak kambing ini, tetapi kamu tidak menemui dia.” Kira-kira tiga bulan kemudian kepada Yehuda dikhabarkan, “Tamar, menantumu, telah berbuat zina. Malah, ketahuilah bahawa dia mengandung akibat perzinaannya itu.” Kata Yehuda, “Bawalah dia ke mari, biar dia dibakar!” Ketika dia sedang dibawa keluar, dia menyuruh orang menyampaikan pesan kepada ayah mertuanya, “Aku mengandung atas perbuatan lelaki yang memiliki barang-barang ini.” Pesannya pula, “Periksalah, siapakah gerangan pemilik cincin materai, kalung, dan tongkat ini?” Yehuda memeriksa barang-barang itu lalu katanya, “Perempuan itulah yang lebih tulus, kerana aku tidak memberikan dia kepada Syela, anakku.” Sejak itu Yehuda tidak lagi meniduri perempuan itu.