Lalu didekatinya perempuan itu di tepi jalan dan tanpa mengetahui perempuan itu menantunya, berkatalah dia, “Marilah, aku mahu tidur denganmu.”
Balas perempuan itu, “Apa yang akan kauberikan kepadaku kalau kamu tidur dengan aku?”
Jawabnya, “Nanti kukirimkan kepadamu seekor anak kambing dari kawanan ternakanku.”
Kata perempuan itu, “Asalkan kamu memberikan jaminan sampai kamu mengirimkannya kepadaku.”
Tanyanya, “Jaminan apa yang harus kuberikan kepadamu?”
Jawab perempuan itu, “Cincin materaimu, kalungmu, dan tongkat yang ada di tanganmu itu.” Maka diberikannyalah semua itu kepadanya, lalu dia menidurinya. Maka mengandunglah perempuan itu akibat kejadian itu. Lalu bangkitlah perempuan itu dan pergi dari situ. Dia menanggalkan penutup wajahnya dan memakai semula pakaian lazim seorang balu.
Yehuda mengirimkan anak kambing yang dijanjikannya melalui sahabatnya, seorang Adulam itu, dan juga untuk mengambil kembali barang-barang jaminannya daripada perempuan itu. Namun sahabatnya itu tidak berjaya menemui perempuan itu. Dia bertanya-tanya kepada orang di tempat itu, katanya, “Di manakah perempuan pelacur kuil yang ada di tepi jalan dekat Enaim itu?”
Jawab mereka, “Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.”
Maka kembalilah dia kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak berjaya menemuinya. Apatah lagi, orang di tempat itu berkata, ‘Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.’ ”
Kata Yehuda, “Biarlah barang-barang itu diambilnya, supaya kita tidak diketawakan orang. Sesungguhnya, aku sudah mengirimkan anak kambing ini, tetapi kamu tidak menemui dia.”
Kira-kira tiga bulan kemudian kepada Yehuda dikhabarkan, “Tamar, menantumu, telah berbuat zina. Malah, ketahuilah bahawa dia mengandung akibat perzinaannya itu.”
Kata Yehuda, “Bawalah dia ke mari, biar dia dibakar!”
Ketika dia sedang dibawa keluar, dia menyuruh orang menyampaikan pesan kepada ayah mertuanya, “Aku mengandung atas perbuatan lelaki yang memiliki barang-barang ini.” Pesannya pula, “Periksalah, siapakah gerangan pemilik cincin materai, kalung, dan tongkat ini?”
Yehuda memeriksa barang-barang itu lalu katanya, “Perempuan itulah yang lebih tulus, kerana aku tidak memberikan dia kepada Syela, anakku.” Sejak itu Yehuda tidak lagi meniduri perempuan itu.