KEJADIAN 3:14-21

KEJADIAN 3:14-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup. Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu. Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia. Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka.