KEJADIAN 25:27-34
KEJADIAN 25:27-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah. Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub. Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar, lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.) Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.” Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!” Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.” Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub. Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.
KEJADIAN 25:27-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kedua-dua orang anak itu menjadi besar. Esau menjadi pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, manakala Yakub seorang yang tenang dan suka tinggal di khemah. Ishak menyayangi Esau, kerana dia suka makan hasil buruannya. Tetapi Ribka menyayangi Yakub. Pada satu kali ketika Yakub sedang memasak sesuatu, Esau pulang dari padang berasa lapar sekali. Lalu Esau berkata kepada Yakub, “Berilah aku makan sedikit yang merah-merah itu, kerana aku amat lapar.” Itulah sebabnya dia dinamai Edom. Kata Yakub, “Juallah dahulu kepadaku hakmu sebagai anak sulung.” Kata Esau, “Sebentar lagi aku mati. Apakah gunanya hak sebagai anak sulung itu bagiku?” Kata Yakub, “Bersumpahlah dahulu kepadaku.” Maka bersumpahlah dia kepadanya dan dijualnyalah haknya sebagai anak sulung itu kepada Yakub. Kemudian Yakub memberi Esau roti dan masakan kacang merah itu. Esau makan dan minum, lalu bangkit dan pergi. Demikianlah Esau meremehkan haknya sebagai anak sulung itu.