Kejadian 25

25
Kematian Abraham dan salasilah keturunannya
1Abraham mengambil seorang isteri lagi bernama Ketura. 2Ketura melahirkan baginya Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Isbak, dan Suah. 3Yoksan mempunyai anak, iaitu Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum. 4Anak-anak Midian ialah Efa, Efer, Hanokh, Abida, dan Eldaa. Semuanya ini keturunan Ketura.
5Abraham memberikan segala sesuatu yang dimilikinya kepada Ishak, 6tetapi dia hanya memberikan pemberian kepada anak-anak gundik-gundiknya. Semasa Abraham masih hidup, dia menyuruh mereka meninggalkan Ishak anaknya dan pergi ke sebelah timur, ke Tanah Timur.
7Abraham mencapai usia seratus tujuh puluh lima tahun. 8Setelah itu, Abraham menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu meninggal ketika sudah sangat tua dan lanjut umur. Lalu dia dikumpulkan bersama kaum leluhurnya. 9Anak-anaknya, iaitu Ishak dan Ismael, memakamkannya di dalam Gua Makhpela di ladang Efron anak Zohar, orang Het, yang terletak di sebelah timur Mamre. 10#Kej 23:3-16.Ladang itu telah dibeli Abraham daripada bani Het. Di sanalah Abraham dimakamkan bersama-sama Sarah, isterinya. 11Setelah Abraham meninggal, Allah memberkati Ishak, anaknya. Ishak tinggal dekat perigi Lahai-Roi.
12Inilah keturunan Ismael, anak Abraham yang dilahirkan untuknya oleh Hagar, seorang perempuan Mesir yang menjadi hamba Sarah. 13Inilah nama anak-anak Ismael menurut urutan kelahirannya: Nebayot, anak sulung Ismael, diikuti Kedar, Adbeel, Mibsam, 14Misma, Duma, Masa, 15Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma. 16Inilah anak-anak Ismael dan nama mereka menurut kampung serta perkhemahan mereka, dua belas orang pemimpin suku, masing-masing dengan sukunya. 17Ismael mencapai usia 137 tahun. Setelah itu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu meninggal dan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. 18Mereka mendiami daerah dari Hawila ke daerah Syur yang terletak di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup bertentangan dengan semua saudara.
Keturunan Ishak, iaitu Esau dan Yakub
19Inilah keturunan Ishak, anak Abraham. Abraham mempunyai anak, iaitu Ishak. 20Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia memperisteri Ribka. Ribka anak Betuel, orang Aram dari Padan-Aram, dan saudara perempuan Laban, orang Aram itu. 21Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya, kerana isterinya itu mandul. TUHAN mengabulkan doanya, lalu Ribka, isterinya pun mengandung. 22Namun demikian, anak-anaknya bertolak-tolakan dalam kandungannya sehingga dia berkata, “Mengapakah hal ini berlaku kepadaku?” Lalu pergilah dia mencari petunjuk TUHAN. 23#Rm 9:12.Firman TUHAN kepadanya,
“Dua bangsa ada dalam kandunganmu,
dan dua suku bangsa akan terpencar daripada rahimmu.
Suku bangsa yang satu akan lebih kuat daripada yang lain,
dan yang tua akan melayan yang muda.”
24Setelah tibanya bagi Ribka untuk bersalin, ternyata ada anak kembar dalam kandungannya. 25Yang pertama keluar dalam keadaan kemerah-merahan, dan seluruh tubuhnya seperti jubah berbulu. Oleh sebab itu dia dinamai Esau. 26Kemudian keluarlah adiknya. Tangannya memegang tumit Esau, sehingga dia dinamai Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika mereka dilahirkan.
27Kedua-dua orang anak itu menjadi besar. Esau menjadi pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, manakala Yakub seorang yang tenang dan suka tinggal di khemah. 28Ishak menyayangi Esau, kerana dia suka makan hasil buruannya. Tetapi Ribka menyayangi Yakub.
Esau menjual haknya sebagai anak sulung
29Pada satu kali ketika Yakub sedang memasak sesuatu, Esau pulang dari padang berasa lapar sekali. 30Lalu Esau berkata kepada Yakub, “Berilah aku makan sedikit yang merah-merah itu, kerana aku amat lapar.” Itulah sebabnya dia dinamai Edom.
31Kata Yakub, “Juallah dahulu kepadaku hakmu sebagai anak sulung.”
32Kata Esau, “Sebentar lagi aku mati. Apakah gunanya hak sebagai anak sulung itu bagiku?”
33 # Ibr 12:16. Kata Yakub, “Bersumpahlah dahulu kepadaku.”
Maka bersumpahlah dia kepadanya dan dijualnyalah haknya sebagai anak sulung itu kepada Yakub. 34Kemudian Yakub memberi Esau roti dan masakan kacang merah itu. Esau makan dan minum, lalu bangkit dan pergi. Demikianlah Esau meremehkan haknya sebagai anak sulung itu.

Terpilih Sekarang Ini:

Kejadian 25: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk