KEJADIAN 24:1-28

KEJADIAN 24:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Abraham sudah tua dan dia diberkati TUHAN dalam segala hal. Pada suatu hari dia berkata kepada hambanya yang paling tua, yang mengurus segala harta bendanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah. Bersumpahlah demi nama TUHAN, Allah yang menguasai langit dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari isteri untuk anakku Ishak, di kalangan orang di tanah Kanaan ini. Kamu harus kembali ke negeri tempat kelahiranku untuk mencari isteri baginya di kalangan saudara maraku.” Tetapi hambanya itu bertanya, “Bagaimanakah jika gadis itu enggan meninggalkan rumahnya untuk datang bersama saya ke negeri ini? Haruskah saya menghantar anak tuan itu kembali ke negeri asal tuan?” Abraham menjawab, “Jangan sekali-kali hantar anakku ke sana! TUHAN, Allah yang menguasai langit, sudah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tanah saudara maraku. Dia sudah bersumpah kepadaku bahawa Dia akan memberikan tanah ini kepada keturunanku. Dia akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu, supaya di sana kamu boleh mendapatkan seorang isteri untuk anakku. Jika gadis itu enggan mengikut kamu, maka kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi jangan hantar anakku ke sana walau apa pun yang terjadi.” Kemudian hamba itu meletakkan tangannya di antara pangkal paha Abraham, tuannya, lalu dia bersumpah untuk melakukan apa yang diminta oleh Abraham. Hamba yang mengurus harta benda Abraham itu, dengan sepuluh ekor unta yang mengangkut berbagai-bagai barang berharga daripada tuannya, berangkat ke kota tempat tinggal Nahor semasa hidupnya; tempat itu terletak di bahagian utara Mesopotamia. Apabila dia tiba di sana, dia menghentikan unta-unta itu supaya berehat dekat sebuah perigi di luar kota. Hari sudah petang, dan itulah waktunya para wanita datang ke perigi untuk menimba air. Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham. Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air. Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.” Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham. Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.” Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.” Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum. Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak. Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya. Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?” “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu. “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.” Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN. Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.” Gadis itu berlari ke rumah ibunya dan menceritakan segala peristiwa itu.

KEJADIAN 24:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Abraham sudah tua dan lanjut umurnya, dan TUHAN memberkati Abraham dalam segala hal. Pada suatu hari berkatalah Abraham kepada hambanya, hamba yang tertua dalam rumahnya dan yang diberi kuasa atas segala sesuatu yang dimilikinya, “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku. Aku meminta kamu bersumpah demi TUHAN, Allah semesta langit dan Allah semesta bumi, bahawa kamu tidak akan mengambil seorang isteri bagi anakku dalam kalangan anak perempuan Kanaan, sekalipun aku tinggal dalam kalangan mereka. Tetapi kamu harus pergi ke negeri asalku dan kepada sanak saudaraku untuk mengambil seorang isteri bagi Ishak, anakku.” Kata hambanya kepadanya, “Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku ke negeri ini. Jika demikian, bolehkah aku kembali untuk membawa anak tuan ke negeri tempat asal tuan itu?” Kata Abraham kepadanya, “Ingat, jangan kaubawa anakku kembali ke sana! TUHAN, Allah semesta langit, telah mengambil aku dari rumah ayahku serta dari tanah kelahiranku. Dia pun telah berfirman serta bersumpah kepadaku demikian, ‘Kepada keturunanmu Aku akan mengurniakan negeri ini.’ Maka tentunya Dia juga akan mengutus malaikat-Nya berjalan di depanmu, supaya kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku dari sana. Akan tetapi, jika perempuan itu tidak mahu mengikut kamu, maka bebaslah kamu daripada sumpahmu kepadaku. Hanya, jangan kaubawa anakku kembali ke sana.” Kemudian, hamba itu meletakkan tangannya di bawah paha Abraham, tuannya, dan bersumpah kepadanya seperti yang dikehendaki oleh tuannya. Hamba itu mengambil sepuluh ekor unta daripada kawanan unta tuannya lalu pergi dengan membawa berbagai-bagai barang berharga milik tuannya. Dia berangkat ke Aram-Mesopotamia, ke kota Nahor. Di sana, dia menghentikan unta-untanya dekat sebuah perigi di luar kota pada waktu petang, waktu kaum perempuan keluar untuk menimba air. Lalu katanya, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku.” Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel — Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.” Jawabnya, “Minumlah, tuanku.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada TUHAN membuat perjalanannya berhasil atau tidak. Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal serta sepasang gelang tangan dari emas seberat sepuluh syikal. Lalu dia bertanya, “Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?” Jawab gadis itu kepadanya, “Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor.” Kata gadis itu pula kepadanya, “Jerami ataupun makanan ternak ada berlimpah-limpah pada kami. Tempat bermalam pun ada.” Maka sujudlah orang itu menyembah TUHAN. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku Abraham. Tidak putus-putusnya kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi tuanku. TUHAN telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.” Gadis itu pun berlari dan pergi memberitahu seisi rumah ibunya mengenai hal ini.