Abraham sudah tua dan lanjut umurnya, dan TUHAN memberkati Abraham dalam segala hal. Pada suatu hari berkatalah Abraham kepada hambanya, hamba yang tertua dalam rumahnya dan yang diberi kuasa atas segala sesuatu yang dimilikinya, “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku. Aku meminta kamu bersumpah demi TUHAN, Allah semesta langit dan Allah semesta bumi, bahawa kamu tidak akan mengambil seorang isteri bagi anakku dalam kalangan anak perempuan Kanaan, sekalipun aku tinggal dalam kalangan mereka. Tetapi kamu harus pergi ke negeri asalku dan kepada sanak saudaraku untuk mengambil seorang isteri bagi Ishak, anakku.”
Kata hambanya kepadanya, “Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku ke negeri ini. Jika demikian, bolehkah aku kembali untuk membawa anak tuan ke negeri tempat asal tuan itu?”
Kata Abraham kepadanya, “Ingat, jangan kaubawa anakku kembali ke sana! TUHAN, Allah semesta langit, telah mengambil aku dari rumah ayahku serta dari tanah kelahiranku. Dia pun telah berfirman serta bersumpah kepadaku demikian, ‘Kepada keturunanmu Aku akan mengurniakan negeri ini.’ Maka tentunya Dia juga akan mengutus malaikat-Nya berjalan di depanmu, supaya kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku dari sana. Akan tetapi, jika perempuan itu tidak mahu mengikut kamu, maka bebaslah kamu daripada sumpahmu kepadaku. Hanya, jangan kaubawa anakku kembali ke sana.” Kemudian, hamba itu meletakkan tangannya di bawah paha Abraham, tuannya, dan bersumpah kepadanya seperti yang dikehendaki oleh tuannya.
Hamba itu mengambil sepuluh ekor unta daripada kawanan unta tuannya lalu pergi dengan membawa berbagai-bagai barang berharga milik tuannya. Dia berangkat ke Aram-Mesopotamia, ke kota Nahor. Di sana, dia menghentikan unta-untanya dekat sebuah perigi di luar kota pada waktu petang, waktu kaum perempuan keluar untuk menimba air. Lalu katanya, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku.”
Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel — Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.”
Jawabnya, “Minumlah, tuanku.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada TUHAN membuat perjalanannya berhasil atau tidak.
Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal serta sepasang gelang tangan dari emas seberat sepuluh syikal. Lalu dia bertanya, “Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?”
Jawab gadis itu kepadanya, “Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor.” Kata gadis itu pula kepadanya, “Jerami ataupun makanan ternak ada berlimpah-limpah pada kami. Tempat bermalam pun ada.”
Maka sujudlah orang itu menyembah TUHAN. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku Abraham. Tidak putus-putusnya kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi tuanku. TUHAN telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.”
Gadis itu pun berlari dan pergi memberitahu seisi rumah ibunya mengenai hal ini.