KEJADIAN 16:7-13
KEJADIAN 16:7-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Malaikat TUHAN menjumpai Hagar dekat mata air di padang gurun, di jalan yang menuju ke padang gurun Syur. Malaikat itu berkata, “Hagar, hamba Sarai, engkau dari mana dan hendak ke mana?” Hagar menjawab, “Hamba melarikan diri daripada tuan hamba, Sarai.” Malaikat itu berkata, “Kembalilah kepadanya dan layanilah dia.” Kemudian malaikat itu berkata, “Aku akan memberikan keturunan yang sangat banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka. Tidak lama lagi engkau akan melahirkan seorang anak lelaki; namakanlah dia Ismael, kerana TUHAN sudah mendengar tangisanmu. Tetapi anakmu itu akan hidup seperti keldai liar; dia akan melawan setiap orang dan setiap orang pun akan melawan dia. Dia akan hidup terpisah daripada semua sanak saudaranya.” Hagar bertanya dalam hati, “Benarkah aku sudah nampak Allah dan aku masih hidup?” Oleh itu dia menyebut TUHAN yang sudah berfirman kepadanya itu “Allah Yang Melihat”.
KEJADIAN 16:7-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Malaikat TUHAN menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun itu, iaitu berdekatan mata air di jalan yang menuju ke Syur. Sabdanya, “Wahai Hagar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.” Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah di bawah kuasanya.” Sabda malaikat TUHAN pula kepadanya, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi tersangat ramai hingga tidak terhitung banyaknya.” Selanjutnya malaikat TUHAN bersabda kepadanya, “Kamu sedang mengandung dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki. Namailah dia Ismael, kerana TUHAN telah mendengar jeritan kesusahanmu. Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar. Tangannya akan melawan setiap orang, dan tangan setiap orang akan melawan dia. Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.” Lalu Hagar menyebut nama TUHAN yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Allah Yang Melihat,” kerana katanya, “Sesungguhnya, aku nampak Dia yang melihat aku.”