KEJADIAN 14:11-24

KEJADIAN 14:11-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Empat orang raja yang menang, menjarah segala sesuatu di Sodom dan Gomora, termasuk bahan makanan, lalu mereka pergi dari situ. Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya. Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram. Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan. Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik. Abram berjaya merebut semula barang-barang yang sudah dirampas. Dia juga membawa kembali Lot bersama dengan segala harta bendanya, kaum wanita, serta orang tawanan yang lain. Setelah mengalahkan Raja Kedorlaomer dan raja-raja sekutunya, Abram kembali. Kemudian raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah Syawe yang disebut juga Lembah Raja. Raja Melkisedek, raja Salem yang juga menjadi imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan wain untuk Abram. Kemudian baginda memberkati Abram dan bertitah, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah menciptakan langit dan bumi, memberkati Abram. Terpujilah Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah memberi kamu kemenangan melawan musuh-musuhmu.” Selepas itu Abram memberi Raja Melkisedek sepersepuluh daripada segala barang jarahan yang sudah dibawanya balik. Kemudian Raja Sodom bertitah kepada Abram, “Ambillah barang jarahan itu, tetapi sudilah kembalikan semua orang beta.” Tetapi Abram menjawab, “Hamba bersumpah di hadapan TUHAN, Allah Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, bahawa hamba tidak akan mengambil sesuatu pun milik tuanku, bahkan seutas benang atau tali kasut pun tidak. Dengan demikian, tuanku tidak akan dapat bertitah, ‘Betalah yang membuat Abram kaya.’ Hamba tidak mahu mengambil apa-apa pun untuk diri hamba. Hamba hanya mahu menerima apa yang sudah digunakan oleh anak buah hamba. Tetapi biarlah teman sekutu hamba, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre mengambil bahagian mereka.”

KEJADIAN 14:11-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Empat orang raja yang menang merampas segala harta benda Sodom dan Gomora serta segala bahan makanan mereka lalu pergi. Mereka juga membawa Lut, anak saudara Abram, dengan harta bendanya kerana ia tinggal di Sodom. Setelah itu, mereka pergi. Lalu seorang yang berjaya melarikan diri pergi menemui Abram, orang Ibrani itu dan memberitahukan hal itu kepadanya. Pada masa itu Abram tinggal berdekatan dengan pokok-pokok oak milik Mamre, seorang warga Amori, saudara kepada Eskol dan Aner. Mereka ini ialah sekutu Abram. Ketika Abram mendengar bahawa anak saudaranya telah ditawan, dia mengerahkan 318 orang terlatih yang lahir di rumahnya. Lalu mereka mengejar gerombolan berkenaan sampai ke Dan. Abram membahagikan pasukannya untuk menyerang musuh pada waktu malam. Mereka mengalahkan musuh dan mengejar mereka sampai ke Hoba, di sebelah utara Damsyik. Segala harta benda dibawanya kembali, juga Lut, saudaranya, dengan harta bendanya, serta perempuan-perempuan dan orang lain. Setelah Abram kembali daripada mengalahkan Kedorlaomer serta para raja yang menjadi sekutunya, raja Sodom keluar untuk menemui Abram di Lembah Syawe, yang dikenali sebagai Lembah Raja. Kemudian Melkisedek, raja Salem yang merupakan seorang imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan anggur. Dia memohon agar Abram diberkati, katanya, “Diberkatilah Abram oleh Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi. Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke dalam tanganmu.” Lalu Abram memberinya sepersepuluh daripada segala harta benda itu. Berkatalah raja Sodom kepada Abram, “Berilah aku orang itu, dan ambillah harta benda itu untukmu.” Tetapi Abram menjawab raja Sodom, “Aku telah bersumpah kepada TUHAN, iaitu Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi, bahawa aku tidak akan mengambil selembar benang atau tali kasut pun daripada semua yang ada padamu supaya jangan kamu berkata, ‘Aku telah membuat Abram kaya.’ Aku tidak akan mengambil apa-apa pun kecuali pampasan bagi apa yang dimakan atau digunakan oleh orang muda yang menyertai aku, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre. Biarlah mereka mengambil bahagian masing-masing.”