KEJADIAN 14
14
Abram Menolong Lot
1Empat orang raja, iaitu Raja Amrafel dari Babilonia, Raja Ariokh dari Elasar, Raja Kedorlaomer dari Elam, dan Raja Tideal dari Goyim, 2keluar berperang melawan lima orang raja lain, iaitu Raja Bera dari Sodom, Raja Birsya dari Gomora, Raja Syinab dari Adma, Raja Semeber dari Zeboim, dan raja dari Bela (atau Zoar). 3Kelima-lima orang raja itu bersekutu lalu mengumpulkan tentera mereka di Lembah Sidim, yang sekarang disebut Laut Mati. 4Mereka telah ditakluk oleh Raja Kedorlaomer selama dua belas tahun, tetapi pada tahun yang ketiga belas mereka memberontak melawan baginda. 5Pada tahun keempat belas, Raja Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya datang dengan tentera mereka, lalu mengalahkan orang Refaim di Asyterot-Karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di dataran Kiryataim, 6dan orang Hori di pergunungan Edom, lalu mengejar mereka sejauh El-Paran di pinggir padang gurun. 7Kemudian raja-raja itu berpatah balik dan kembali ke En-Mispat yang sekarang disebut Kades. Mereka menaklukkan seluruh tanah orang Amalek dan mengalahkan orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar.
8Selepas itu raja dari Sodom, Gomora, Adma, Zeboim, dan Bela mengatur barisan tentera mereka di Lembah Sidim, lalu berperang 9melawan raja dari Elam, Goyim, Babilonia, dan Elasar; lima orang raja melawan empat orang raja. 10Lembah itu penuh dengan lubang tar. Apabila raja dari Sodom dan Gomora cuba melarikan diri dari peperangan, mereka jatuh ke dalam lubang tar. Tiga orang raja yang lain berjaya melarikan diri ke pergunungan. 11Empat orang raja yang menang, menjarah segala sesuatu di Sodom dan Gomora, termasuk bahan makanan, lalu mereka pergi dari situ. 12Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya.
13Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram. 14Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan. 15Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik. 16Abram berjaya merebut semula barang-barang yang sudah dirampas. Dia juga membawa kembali Lot bersama dengan segala harta bendanya, kaum wanita, serta orang tawanan yang lain.
Raja Melkisedek Memberkati Abram
17Setelah mengalahkan Raja Kedorlaomer dan raja-raja sekutunya, Abram kembali. Kemudian raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah Syawe yang disebut juga Lembah Raja. 18Raja Melkisedek, raja Salem yang juga menjadi imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan wain untuk Abram. 19Kemudian baginda memberkati Abram dan bertitah, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah menciptakan langit dan bumi, memberkati Abram. 20 Terpujilah Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah memberi kamu kemenangan melawan musuh-musuhmu.” Selepas itu Abram memberi Raja Melkisedek sepersepuluh daripada segala barang jarahan yang sudah dibawanya balik.
21Kemudian Raja Sodom bertitah kepada Abram, “Ambillah barang jarahan itu, tetapi sudilah kembalikan semua orang beta.”
22Tetapi Abram menjawab, “Hamba bersumpah di hadapan TUHAN, Allah Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, 23bahawa hamba tidak akan mengambil sesuatu pun milik tuanku, bahkan seutas benang atau tali kasut pun tidak. Dengan demikian, tuanku tidak akan dapat bertitah, ‘Betalah yang membuat Abram kaya.’ 24Hamba tidak mahu mengambil apa-apa pun untuk diri hamba. Hamba hanya mahu menerima apa yang sudah digunakan oleh anak buah hamba. Tetapi biarlah teman sekutu hamba, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre mengambil bahagian mereka.”
Terpilih Sekarang Ini:
KEJADIAN 14: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.