KEJADIAN 14:11-16
KEJADIAN 14:11-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Empat orang raja yang menang, menjarah segala sesuatu di Sodom dan Gomora, termasuk bahan makanan, lalu mereka pergi dari situ. Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya. Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram. Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan. Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik. Abram berjaya merebut semula barang-barang yang sudah dirampas. Dia juga membawa kembali Lot bersama dengan segala harta bendanya, kaum wanita, serta orang tawanan yang lain.
KEJADIAN 14:11-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Empat orang raja yang menang merampas segala harta benda Sodom dan Gomora serta segala bahan makanan mereka lalu pergi. Mereka juga membawa Lut, anak saudara Abram, dengan harta bendanya kerana ia tinggal di Sodom. Setelah itu, mereka pergi. Lalu seorang yang berjaya melarikan diri pergi menemui Abram, orang Ibrani itu dan memberitahukan hal itu kepadanya. Pada masa itu Abram tinggal berdekatan dengan pokok-pokok oak milik Mamre, seorang warga Amori, saudara kepada Eskol dan Aner. Mereka ini ialah sekutu Abram. Ketika Abram mendengar bahawa anak saudaranya telah ditawan, dia mengerahkan 318 orang terlatih yang lahir di rumahnya. Lalu mereka mengejar gerombolan berkenaan sampai ke Dan. Abram membahagikan pasukannya untuk menyerang musuh pada waktu malam. Mereka mengalahkan musuh dan mengejar mereka sampai ke Hoba, di sebelah utara Damsyik. Segala harta benda dibawanya kembali, juga Lut, saudaranya, dengan harta bendanya, serta perempuan-perempuan dan orang lain.