KEJADIAN 11:27-32
KEJADIAN 11:27-32 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah keturunan Terah. Terah ialah bapa Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot. Haran meninggal di Ur, kampung halamannya di Babilonia, ketika bapanya masih hidup. Abram berkahwin dengan Sarai, dan Nahor berkahwin dengan Milka, anak perempuan Haran. Haran mempunyai anak lelaki lain bernama Yiska. Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul. Terah meninggalkan kota Ur di Babilonia bersama dengan Abram anaknya, Lot cucunya, dan Sarai menantunya, iaitu isteri Abram. Terah bermaksud pergi ke negeri Kanaan tetapi setibanya di Haran, mereka menetap di sana. Di tempat itu Terah meninggal ketika berumur 205 tahun.
KEJADIAN 11:27-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah keturunan Terah. Terah dikurniai anak, iaitu Abram, Nahor, dan Haran. Seterusnya Haran dikurniai anak iaitu Lut. Haran meninggal lebih dahulu daripada Terah, ayahnya, di tanah kelahirannya, Ur-Kasdim. Kemudian Abram dan Nahor meminang isteri. Nama isteri Abram ialah Sarai, dan nama isteri Nahor ialah Milka, anak Haran. Haran ialah ayah Milka dan Yiska. Akan tetapi, Sarai mandul dan tidak mempunyai anak. Terah membawa Abram anaknya, Lut anak Haran cucunya, serta Sarai menantunya, iaitu isteri Abram anaknya, keluar bersama-sama dari Ur-Kasdim untuk pergi ke Tanah Kanaan. Tetapi ketika sampai di Haran, mereka pun menetap di sana. Setelah Terah mencapai usia 205 tahun, meninggallah dia di Haran.