KEJADIAN 10:6-20
KEJADIAN 10:6-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah keturunan Ham: Kus, Mesir, Libia, dan Kanaan. Keturunan Kus ialah penduduk Seba, Hawila, Sabta, Raema, dan Sabtekha. Keturunan Raema ialah penduduk Syeba dan Dedan. Kus mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Nimrod. Nimrod menjadi seorang penakluk agung yang pertama sekali di dunia. Dengan pertolongan TUHAN, Nimrod menjadi seorang pemburu yang ulung. Oleh itu orang berkata, “Semoga TUHAN menjadikan kamu pemburu yang ulung seperti Nimrod.” Mula-mula kerajaan Nimrod meliputi Babel, Erekh, dan Akad, yang semuanya di Babilonia. Dari sana, Nimrod pergi ke Asyur lalu membina kota Niniwe, Rehobot-Ir, Kalah, dan Resen, yang terletak di antara Niniwe dan Kalah, sebuah kota yang besar. Keturunan Mesir ialah penduduk Lidia, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim, dan Kaftorim, nenek moyang bangsa Filistin. Anak Kanaan ialah Sidon yang sulung, dan Het. Kanaan juga nenek moyang orang Yebusi, Amori, Girgasi, Hewi, Arki, Sini, Arwadi, Semari, dan Hamati. Keturunan suku-suku Kanaan itu terserak jauh sampai ke sempadan negeri mereka dan meluas dari Sidon ke selatan menuju Gerar, sampai ke Gaza, dan ke timur menuju Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, sampai ke Lasa. Mereka semua keturunan Ham. Setiap suku tinggal di negeri masing-masing dan mempunyai bahasa sendiri.
KEJADIAN 10:6-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Keturunan Ham ialah Kush, Misraim, Put, dan Kanaan. Keturunan Kush ialah Seba, Hawila, Sabta, Raema, dan Sabtekha. Anak-anak Raema ialah Syeba dan Dedan. Kush beranakkan seorang anak lelaki bernama Nimrod; dia menjadi orang perkasa pertama di bumi. Dia seorang pemburu yang perkasa di hadapan TUHAN. Itulah sebabnya dikatakan orang, “Seperti Nimrod, seorang pemburu yang perkasa di hadapan TUHAN.” Wilayah utama kerajaannya terdiri daripada Babel, Erekh, Akad, dan Kalne, yang kesemuanya terletak di Tanah Sinear. Dari situ dia pergi ke Asyur, lalu membina Niniwe, Rehobot-Ir, Kalah, dan Resen yang terletak di antara Niniwe dengan Kalah; iaitu kota raya yang besar. Misraim beranakkan Ludim, Anamim, Lehabim, Naftuhim, Patrusim, Kasluhim (yang merupakan susur galur orang Filistin), dan Kaftorim. Kanaan beranakkan Sidon, anak sulungnya, dan Het. Keturunan Kanaan yang lain ialah orang Yebusi, orang Amori, orang Girgasi, orang Hewi, orang Arki, orang Sini, orang Arwadi, orang Semari, dan orang Hamati. Kemudian tersebarlah kaum-kaum orang Kanaan itu. Daerah orang Kanaan terbentang dari Sidon ke arah Gerar sampai ke Gaza, kemudian ke arah Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, sampai ke Lasa. Itulah keturunan Ham menurut kaum mereka, bahasa mereka, negeri mereka dan bangsa mereka.