GALATIA 4:1-31

GALATIA 4:1-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi perlu aku lanjutkan: Selama seorang ahli waris masih kanak-kanak, dia tidak berbeza dengan seorang abdi, meskipun sebenarnya anak itu memiliki segala-galanya. Semasa ahli waris itu masih di bawah umur, beberapa orang wali akan menjaga dia dan mewakili dia dalam segala urusannya, sehingga dia mencapai umur yang sudah ditetapkan oleh bapanya. Demikian juga dengan kita: selama kita masih belum dewasa, kita pun diperhamba oleh roh-roh yang menguasai dunia ini. Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. Kerana kamu anak-anak Allah, Allah menyuruh Roh Anak-Nya masuk ke dalam hati kita. Roh itulah yang menyebabkan kita berseru, “Bapa, ya Bapaku.” Dengan demikian kamu bukan lagi abdi, tetapi anak. Kerana kamu anak-Nya, Allah akan mengurniai kamu segala yang telah disediakan untuk anak-anak-Nya. Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu. Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.” Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, “Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.” Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas.

GALATIA 4:1-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SKARANG maka kataku, adapun warith itu slagi iya kanak kanak, maka tiadalah iya bŭrbetha skalipun dŭngan hamba, jikalau iya mŭnjadi tuan atas sagala sŭsuatu skalipun. Mŭlainkan iya itu dibawah prentah guru, dan pŭmrentah, sahingga pada masa yang akan ditŭntukan ulih ayahnya. Maka dŭmkian pula kami inipun tŭtkala lagi kanak kanak, kami adalah pŭrhambaan dibawah alif ba ta dunia. Tŭtapi apabila sampie gŭnap waktunya itu, maka disuroh Allah akan Anaknya itu yang tŭlah jadi deripada sa’orang pŭrampuan, tŭrta’lok dibawah hukum tauret; Supaya ditŭbusnya akan sagala orang yang tŭrta’lok dibawah hukum tauret, supaya kami bŭrulih pangkat anak anak angkat. Adapun ulih sŭbab kamu anak anak adanya, maka Allah tŭlah mŭnyurohkan Roh Anaknya laki laki itu masok kadalam hati kamu yang bŭrsru, Abba, Ayah. Maka sŭbab itulah kamu bukannya lagi sa’orang hamba, mŭlainkan sa’orang anak, dan jikalau sa’orang anak, maka bahwasanya sa’orang warithlah bagie Allah dŭngan bŭrkat Almasih. Akan tŭtapi tŭtkala bŭlom kamu mŭngŭnal Allah, kamu tŭlah dipŭrhambakan kapada yang bukannya mŭmpunyai tabiat Allah. Tŭtapi skarang kumdian deripada kamu tŭlah mŭngŭnal akan Allah, atau tŭrutamalah dikŭnal ulih Allah akan kamu, maka bŭtapakah kamu handak bŭrpaling pula kapada sagala pŭngajaran alif ba ta yang lŭmah dan mŭskin itu, sŭrta handak pŭrhambakan lagi pula dirimu kapadanya? Bahwa kamu mŭngindahkan hari, dan bulan, dan waktu, dan tahun. Maka kutakotlah akan hal kamu itu, asal jangan tŭrbuang lŭlahku atas kamu dŭngan sia sia. Saudara saudaraku, kupintalah kapada kamu, jadilah spŭrti aku, kŭrna aku ini spŭrti kamu adanya; kamu tiada skali kali mŭmbuat susah bagieku. Maka kamu tŭlah mŭngatahui, bahwa aku mŭngajar Injil pada kamu mula mulanya dŭngan kalŭmahan tubohku, Dan pŭrchobaanku yang ada dalam tubohku itu tiada kamu kŭjikan, atau mŭnolakkan dia, mŭlainkan kamu tŭlah mŭnŭrima akan daku spŭrti sa’orang mŭliekat Allah, spŭrti Isa Almasih juga. Manakah bŭrkat yang kamu mŭngatakan itu? Kŭrna aku mŭnjadi saksi, bahwa jikalau dapat kiranya, tŭntu kamu handak mŭnyongkilkan biji matamu sŭndiri itu mŭmbrikan padaku. Maka deri sŭbab itu, aku mŭnjadi sŭtrumukah, sŭbab aku kata padamu yang bŭnar itu? Maka marika itu chŭndrong kapada kamu dŭngan rajin, tŭtapi bukan dŭngan baiknya; iya mahu mŭnchŭriekan kamu, supaya kamu chŭndrong kapada dia. Tŭtapi baik juga mŭnjadi rajin slalu dalam pŭrkara yang baik, bukannya pada waktu aku ada bŭrhadapan dŭngan kamu sahja. Hie anak anakku yang kugandongkan kabratan akan mŭmpranakkan kamu pula, sahingga Almasih disifatkan dalam kamu; Maka kahandakku bŭrhadapan dŭngan kamu skarang ini, dan mŭnukarkan pŭrkataanku, kŭrna bimbanglah hatiku sŭbab kamu. Katakanlah kapadaku, hie orang yang handak ta’lok dibawah hukum tauret itu, tiadakah kamu mŭnŭngar akan pŭrkataan tauret itu? Kŭrna tŭlah tŭrsurat, Ibrahim itu adalah dua anak laki lakinya, iya itu sa’orang deripada sahya pŭrampuan, dan sa’orang deripada pŭrampuan mŭrdehka. Tŭtapi anak deripada sahya pŭrampuan itu tŭlah dipranakkan dŭngan pri hawa nafsu, tŭtapi anak deripada pŭrampuan mŭrdehka itu sudah jadi sŭbab pŭrjanjian. Maka pŭrkara itulah mŭnjadi suatu ibarat, kŭrna iya itu dua pŭrjanjian adanya, maka yang suatu itu asalnya deri bukit Tŭrsina yang mŭmpranakkan pŭrhambaan, iya itulah Hagar. Adapun Hagar itu ibaratnya bukit Tŭrsina ditanah Arab, maka iya itu stuju dŭngan Jerusalem yang ada skarang ini mŭnjadi hamba sŭrta dŭngan anak anaknya. Akan tŭtapi Jerusalem yang ada diatas itu mŭrdehka adanya, maka iya itulah bondah kami skalian. Kŭrna tŭlah tŭrsurat, Bŭrsuka sukaanlah hie pŭrampuan mandol yang tiada branak; bŭrsoraklah sŭrta bŭrsru, hie angkau yang bŭlom kŭna sakit branak, kŭrna yang kosong itulah ada tŭrlebih banyak anak anak deripada yang bŭrswami. Adapun kami ini skarang hie saudara saudara, spŭrti ka’adaan Isahak, anak anak pŭrjanjian itu. Adapun spŭrti tŭtkala dahulu itu, yang tŭlah dipranakkan dŭngan hawa nafsu itu, tŭlah mŭngannyayai akan yang tŭlah dipranakkan deri pada Roh itu, maka dŭmkian lagi sampie kapada skarang ini. Kŭndatilah, apakah pŭrkataan kitab? Buangkanlah sahya pŭrampuan ini bŭsŭrta anaknya, kŭrna anak sahya pŭrampuan itu tiada kŭlak mŭnjadi warith sama dŭngan anak pŭrampuan mŭrdehka itu. Dŭmkianlah hie saudara saudaraku, bukannya kami anak anak deripada sahya pŭrampuan itu, mŭlainkan anak anak deripada pŭrampuan mŭrdehka itu.

GALATIA 4:1-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya. Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya. Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut ajaran asas dunia. Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Anak-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat, untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak. Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Anak-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, “Abba, Bapa.” Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya. Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan yang sebenarnya bukan tuhan. Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah — atau lebih tepat, dikenali Allah — mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia. Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu. Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Kristus Yesus. Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku. Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu? Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka. Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga Kristus terbentuk dalam dirimu. Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu! Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? Tersurat bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji. Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian — satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, kerana Hagar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. Kerana telah tersurat: “Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.” Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? “Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.” Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.