GALATIA 2:1-10

GALATIA 2:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Empat belas tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem bersama dengan Barnabas, dan Titus turut menyertai kami. Aku pergi ke Yerusalem kerana Allah menyatakan kehendak-Nya bahawa aku harus pergi. Dalam satu perjumpaan khas dengan para pemimpin Kristian di situ, aku menjelaskan Berita Baik yang aku khabarkan kepada orang bukan Yahudi. Aku tidak mahu usahaku, baik yang dahulu mahupun yang sekarang menjadi sia-sia. Sahabatku Titus, meskipun dia seorang Yunani, tidak dipaksa supaya bersunat, walaupun ada orang yang menginginkan hal itu. Mereka itu orang yang menyeludup ke dalam kumpulan kita dan berpura-pura menjadi saudara. Mereka mengintip kita untuk mengetahui kebebasan yang kita alami kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Mereka mahu kita diperhamba semula. Tetapi kami sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan mereka, kerana kami hendak menjaga kemurnian Berita Baik itu untuk kamu. Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang. Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi. Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi. Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi. Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan.

GALATIA 2:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN sŭtlah ampatblas tahun kumdian naiklah pula aku kaJerusalem sŭrta dŭngan Barnabas, sambil kubawa pula Titus bŭrsama sama. Adapun aku pŭrgi itu dŭngan pŭrtunjokkan Allah, lalu aku mŭnchŭrtrakan kapada marika itu akan Injil yang tŭlah kuajarkan diantara orang orang sŭsat, akan tŭtapi dŭngan diam diam kapada orang orang yang tŭrbilang, asal jangan kŭlak aku bŭrusaha, atau tŭlah bŭrusaha dŭngan sia sia. Baik Titus, yang tŭlah bŭrsama sama dŭngan aku, sungguh pun sa’orang Grika, tiada digagahi suroh bŭrsunat. Maka iya itu sŭbab saudara saudara lanchong yang mŭnyamarkan dŭngan bŭrsŭmbunyi, handak mŭngintie kabibasan kami, yang tŭlah kami bŭrulih deripada Isa Almasih, supaya dapat diajaknya kami kadalam ikatan taurat. Maka tiada kami tundok kapada marika itu, sa’jam pun tidak; supaya kabŭnaran Injil itu tŭtap dŭngan kamu. Tŭtapi deri hal orang orang yang tampaknya tŭrbilang, barang apa pun baik halnya, tiada apa kapada aku: bahwa Allah tiada mŭngindahkan muka barang sa’orang manusia: kŭrna orang orang yang tampaknya tŭrbilang dalam fakatan itu tiadalah mŭnambah suatu jua pun padaku. Mŭlainkan apabila dilihatnya, bahwa jawatan mŭngajar Injil kapada orang yang tiada bŭrsunat itu, disŭrahkan kapadaku, spŭrti jawatan mŭngajar Injil kapada orang yang bŭrsunat itu tŭlah disŭrahkan kapada Petros. Kŭrna Tuhan yang tŭlah mŭlakukan dŭngan tŭntunya dalam hati Petros atas jawatan rasul kapada orang yang bŭrsunat, maka dŭmkianlah juga Tuhan tŭlah mŭlakukan dŭngan sangat kwasa dalam hatiku pun kapada orang sŭsat. Maka apabila Yakob, dan Kephas, dan Yahya, yang tampak spŭrti sukong sukong, tŭlah mŭndapat kanyataan anugrah itu, yang tŭlah dikurniakan pada aku, maka marika itu mŭnjabatkan aku dan Bernabas dŭngan tangan kanan pŭrsukutuan, supaya kami pŭrgi mŭngajar akan orang orang sŭsat, dan marika itu pun pŭrgi mŭngajar orang orang yang bŭrsunat. Mŭlainkan dipintanya supaya kami ingat akan orang orang miskin; maka dŭmkianlah juga niatku handak bŭrbuat.

GALATIA 2:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Yerusalem dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama. Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan dalam kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu. Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat. Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Kristus Yesus agar mereka dapat memperhamba kami. Namun demikian, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu. Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa — walau apa pun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa — mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku. Sebaliknya, mereka menyedari bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus. Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat. Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yohanes, yang dipandang sebagai tiang asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat. Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.