EZRA 4:1-5,24
EZRA 4:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Musuh orang Yehuda dan Benyamin mendengar bahawa mereka yang telah pulang dari pembuangan itu sedang membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel. Oleh itu mereka menghadap Zerubabel dan para pemimpin umat itu, lalu berkata, “Benarkanlah kami ikut membina Rumah TUHAN. Kami pun menyembah Allah yang sama dan kami selalu mempersembahkan korban kepada-Nya sejak kami disuruh tinggal di sini oleh Raja Esarhadon, raja negeri Asyur.” Zerubabel, Yesua, dan para pemimpin umat berkata kepada mereka, “Kami tidak memerlukan bantuan kamu untuk membina Rumah bagi TUHAN, Allah kami. Kami sendiri akan membinanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh Raja Kores, raja Persia.” Selepas itu penduduk yang telah lama tinggal di negeri itu cuba menawarkan hati orang Yahudi dan menakut-nakuti mereka, supaya pembinaan itu dihentikan. Mereka juga memberikan rasuah kepada para pegawai kerajaan Persia supaya menggagalkan pembinaan itu. Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores, bahkan sampai ke masa pemerintahan Raja Darius.
EZRA 4:24 Alkitab Berita Baik (BM)
Pembinaan Rumah TUHAN telah tergendala sehingga tahun kedua pemerintahan Raja Darius, raja Persia.
EZRA 4:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila musuh bani Yehuda dan bani Benyamin mendengar bahawa umat yang pulang daripada pembuangan itu sedang membina Bait Suci bagi TUHAN, Allah Israel, mereka pun mendekati Zerubabel dan ketua kaum keluarga lalu berkata, “Biarlah kami turut serta dalam kerja-kerja pembinaan itu bersama-sama kamu, kerana kami juga beribadat kepada Allahmu sama seperti kamu. Kami juga telah mempersembahkan korban kepada-Nya sejak zaman Esarhadon, raja Asyur yang membawa kami ke sini.” Tetapi Zerubabel, Yesua, dan para ketua kaum keluarga Israel yang lain berkata kepada mereka, “Kamu tidak ada kena-mengena dengan kami dalam urusan pembinaan bait bagi Allah kami. Kami sendirilah yang akan membinanya bagi TUHAN, Allah Israel, sebagaimana yang diperintahkan kepada kami oleh Kores, raja Parsi itu. Maka penduduk negeri itu mematahkan semangat orang Yehuda dan sering mengganggu kalangan umat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan itu. Sepanjang zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, sehingga pemerintahan Darius, raja Parsi, mereka mengupah penasihat untuk menentang umat itu demi menggagalkan usaha pembinaan itu.