YEHEZKIEL 47:1-12
YEHEZKIEL 47:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Lelaki itu membawa aku balik ke pintu masuk Rumah TUHAN. Aku nampak air mengalir dari bawah pintu ke arah timur, sebagaimana Rumah TUHAN juga menghadap ke arah timur. Air itu mengalir dari bawah ambang pintu Rumah TUHAN di bahagian selatan, melalui sisi selatan mazbah. Kemudian lelaki itu membawa aku keluar dari kawasan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara, lalu memimpin aku ke pintu gerbang timur. Sungai kecil itu mengalir dari sisi selatan pintu gerbang itu. Dengan kayu pengukurnya lelaki itu mengukur 500 meter ke arah timur, mengikut arus sungai itu, dan menyuruh aku mengharunginya. Airnya sampai ke mata kakiku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke lututku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke pinggangku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan di situ airnya sudah menjadi sungai dalam sehingga aku tidak dapat menyeberanginya kecuali dengan berenang. Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, perhatikanlah semua ini dengan baik-baik.” Kemudian dia membawa aku ke tebing sungai. Apabila aku sampai di sana, aku nampak banyak sekali pokok di kedua-dua tebing sungai itu. Dia berkata kepadaku, “Air ini mengalir ke arah timur melalui negeri ini, lalu turun ke Lembah Sungai Yordan dan menuju ke Laut Mati. Apabila airnya sampai ke dalam Laut Mati, maka air laut yang masin itu digantikan dengan air tawar. Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ juga akan terdapat segala jenis binatang dan ikan. Air itu akan menjadikan air di Laut Mati tawar, dan ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan terdapat kehidupan. Dari Mata Air En-Gedi sampai ke Mata Air En-Eglaim, akan ada banyak nelayan menjemur jala di pantainya. Di dalam air itu akan terdapat segala jenis ikan seperti yang ada di Laut Tengah. Tetapi air di rawa dan di paya di sepanjang pantai itu tidak akan menjadi tawar, melainkan tetap menjadi sumber garam. Di kedua-dua tebing sungai itu akan tumbuh berjenis-jenis pokok buah. Daun pokok-pokok itu tidak akan layu, dan pokok-pokok itu tidak akan berhenti berbuah. Setiap bulan pokok-pokok itu akan menghasilkan buah-buah yang baru, kerana pokok-pokok itu diairi oleh air yang mengalir dari Rumah TUHAN. Buah-buah itu menjadi makanan dan daun-daunnya digunakan sebagai ubat.”
YEHEZKIEL 47:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia membawa aku kembali ke pintu Bait Suci. Tampak air mengalir dari bawah ambang pintu Bait Suci ke arah timur, kerana Bait itu menghadap ke timur. Air itu mengalir daripada bahagian bawah sisi kanan Bait Suci, di sebelah selatan mazbah. Kemudian dia membawa aku keluar melalui pintu gerbang utara dan berputar menuju pintu gerbang luar yang menghadap ke arah timur. Tampak air memancur di sebelah selatan. Orang itu pergi ke arah timur sambil membawa tali pengukur. Lalu dia mengukur jarak sepanjang seribu hasta lalu disuruhnya aku masuk ke air itu, tingginya satu mata kaki. Dia mengukur lagi sepanjang seribu hasta dan menyuruh aku masuk ke air itu, ternyata tingginya paras lutut. Lagi-lagi dia mengukur sepanjang seribu hasta lalu menyuruh aku masuk, air itu setinggi pinggang. Kemudian dia mengukur seribu hasta lagi. Kali ini air itu sudah menjadi sungai yang tidak dapat kuseberangi kerana airnya telah meninggi. Cukup tinggi air itu sehingga orang dapat berenang — sungai itu sudah tidak dapat diseberangi. Katanya kepadaku, ‘Sudahkah kaulihat, wahai anak manusia?’ Kemudian dia membawa aku kembali ke tepi sungai. Ketika aku kembali, tampak di kedua-dua belah tepian sungai itu ada banyak sekali pokok. Katanya kepadaku, ‘Air ini mengalir ke wilayah timur lalu turun ke Araba dan bermuara di Laut Mati. Ketika air mengalir itu sampai di laut, air laut pun menjadi tawar. Jadi, ke mana-mana pun sungai itu bermuara, semua makhluk hidup yang berkerumun di sana akan hidup. Ikan akan menjadi sangat banyak kerana air ini bermuara ke sana dan menjadikan air laut itu tawar. Ke mana-mana pun sungai itu bermuara, segala sesuatu di sana akan hidup. Penangkap ikan akan berdiri di tepiannya, mulai En-Gedi sampai ke En-Eglaim akan ada tempat membentangkan jaring. Ikan di sungai itu akan sangat banyak jenisnya, seperti ikan di laut besar. Akan tetapi, rawanya dan empang-empangnya tidak akan menjadi tawar. Tempat-tempat itu ditentukan sebagai tempat orang mengambil garam. Di kedua-dua belah tepian sungai itu akan tumbuh berbagai-bagai pokok buah-buahan. Daunnya tidak akan layu dan buahnya tidak akan habis. Tiap-tiap bulan pokok-pokok itu akan mengeluarkan buah baru kerana air yang mengalir dari tempat suci mengairi mereka. Buahnya akan menjadi makanan dan daunnya menjadi ubat.’