Yehezkiel 47:1-12

Yehezkiel 47:1-12 AVB

Dia membawa aku kembali ke pintu Bait Suci. Tampak air mengalir dari bawah ambang pintu Bait Suci ke arah timur, kerana Bait itu menghadap ke timur. Air itu mengalir daripada bahagian bawah sisi kanan Bait Suci, di sebelah selatan mazbah. Kemudian dia membawa aku keluar melalui pintu gerbang utara dan berputar menuju pintu gerbang luar yang menghadap ke arah timur. Tampak air memancur di sebelah selatan. Orang itu pergi ke arah timur sambil membawa tali pengukur. Lalu dia mengukur jarak sepanjang seribu hasta lalu disuruhnya aku masuk ke air itu, tingginya satu mata kaki. Dia mengukur lagi sepanjang seribu hasta dan menyuruh aku masuk ke air itu, ternyata tingginya paras lutut. Lagi-lagi dia mengukur sepanjang seribu hasta lalu menyuruh aku masuk, air itu setinggi pinggang. Kemudian dia mengukur seribu hasta lagi. Kali ini air itu sudah menjadi sungai yang tidak dapat kuseberangi kerana airnya telah meninggi. Cukup tinggi air itu sehingga orang dapat berenang — sungai itu sudah tidak dapat diseberangi. Katanya kepadaku, ‘Sudahkah kaulihat, wahai anak manusia?’ Kemudian dia membawa aku kembali ke tepi sungai. Ketika aku kembali, tampak di kedua-dua belah tepian sungai itu ada banyak sekali pokok. Katanya kepadaku, ‘Air ini mengalir ke wilayah timur lalu turun ke Araba dan bermuara di Laut Mati. Ketika air mengalir itu sampai di laut, air laut pun menjadi tawar. Jadi, ke mana-mana pun sungai itu bermuara, semua makhluk hidup yang berkerumun di sana akan hidup. Ikan akan menjadi sangat banyak kerana air ini bermuara ke sana dan menjadikan air laut itu tawar. Ke mana-mana pun sungai itu bermuara, segala sesuatu di sana akan hidup. Penangkap ikan akan berdiri di tepiannya, mulai En-Gedi sampai ke En-Eglaim akan ada tempat membentangkan jaring. Ikan di sungai itu akan sangat banyak jenisnya, seperti ikan di laut besar. Akan tetapi, rawanya dan empang-empangnya tidak akan menjadi tawar. Tempat-tempat itu ditentukan sebagai tempat orang mengambil garam. Di kedua-dua belah tepian sungai itu akan tumbuh berbagai-bagai pokok buah-buahan. Daunnya tidak akan layu dan buahnya tidak akan habis. Tiap-tiap bulan pokok-pokok itu akan mengeluarkan buah baru kerana air yang mengalir dari tempat suci mengairi mereka. Buahnya akan menjadi makanan dan daunnya menjadi ubat.’

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yehezkiel 47:1-12