YEHEZKIEL 37:5-10
YEHEZKIEL 37:5-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula. Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.” Aku pun bernubuat sebagaimana aku disuruh. Lalu angin menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup dan berdiri. Bilangan mereka sangat banyak, cukup untuk membentuk satu pasukan tentera yang besar.
YEHEZKIEL 37:5-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada tulang-tulang ini, ‘Sesungguhnya, Aku akan memberikan nafas kepadamu sehingga kamu hidup kembali. Aku akan memberikan urat kepadamu dan menumbuhkan daging padamu. Aku akan menutupi kamu dengan kulit dan memberi kamu nafas sehingga kamu hidup kembali. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Lalu bernubuatlah aku seperti yang diperintahkan kepadaku. Pada waktu aku bernubuat, terdengarlah suatu bunyi, ya, bunyi derak-derak. Tulang-tulang itu berlekatan satu sama lain. Ketika kuamati, tampak urat dan daging tumbuh pada mereka. Kemudian kulit menutupi semuanya, tetapi mereka belum bernyawa. Lalu Dia berfirman kepadaku, “Bernubuatlah pada roh kehidupan. Bernubuatlah, wahai anak manusia! Katakan kepada roh itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Datanglah dari keempat-empat mata angin, wahai roh. Bertiuplah kepada golongan orang yang terbunuh ini supaya mereka hidup kembali.’ ” Lalu aku bernubuat seperti yang diperintahkan-Nya kepadaku. Maka masuklah roh itu ke dalam mereka sehingga mereka hidup kembali dan berdiri di atas kedua-dua belah kaki mereka — suatu pasukan yang amat besar sekali.