Yehezkiel 37
37
Tulang-tulang kering: lambang kebangkitan Israel
1Kuasa TUHAN meliputi aku, lalu TUHAN membawa aku keluar dengan perantaraan Roh-Nya dan menempatkan aku di tengah-tengah sebuah lembah. Lembah itu penuh dengan tulang. 2Kemudian aku dibawa-Nya berjalan keliling untuk mengamati tulang-tulang itu. Ternyata jumlahnya amat banyak di permukaan lembah itu, dan semuanya tampak sangat kering. 3Firman-Nya kepadaku, “Wahai anak manusia, bolehkah tulang-tulang ini hidup kembali?”
Jawabku, “Ya Tuhan ALLAH, hanya Engkaulah yang mengetahui hal itu.”
4Firman-Nya kepadaku, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang ini dan katakan, ‘Wahai tulang-tulang yang kering, dengarlah firman TUHAN!’ 5Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada tulang-tulang ini, ‘Sesungguhnya, Aku akan memberikan nafas kepadamu sehingga kamu hidup kembali. 6Aku akan memberikan urat kepadamu dan menumbuhkan daging padamu. Aku akan menutupi kamu dengan kulit dan memberi kamu nafas sehingga kamu hidup kembali. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”
7Lalu bernubuatlah aku seperti yang diperintahkan kepadaku. Pada waktu aku bernubuat, terdengarlah suatu bunyi, ya, bunyi derak-derak. Tulang-tulang itu berlekatan satu sama lain. 8Ketika kuamati, tampak urat dan daging tumbuh pada mereka. Kemudian kulit menutupi semuanya, tetapi mereka belum bernyawa.
9Lalu Dia berfirman kepadaku, “Bernubuatlah pada roh kehidupan. Bernubuatlah, wahai anak manusia! Katakan kepada roh itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Datanglah dari keempat-empat mata angin, wahai roh. Bertiuplah kepada golongan orang yang terbunuh ini supaya mereka hidup kembali.’ ” 10#Why 11:11.Lalu aku bernubuat seperti yang diperintahkan-Nya kepadaku. Maka masuklah roh itu ke dalam mereka sehingga mereka hidup kembali dan berdiri di atas kedua-dua belah kaki mereka — suatu pasukan yang amat besar sekali.
11Firman-Nya kepadaku, “Wahai anak manusia, tulang-tulang ini ialah seluruh keturunan kaum Israel. Sesungguhnya, mereka sendiri berkata, ‘Tulang-tulang kami sudah kering dan harapan kami sudah lenyap. Kami sudah habis.’ 12Oleh sebab itu bernubuatlah dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Ketahuilah, Aku akan membuka kubur-kuburmu dan membangkitkan kamu dari situ, wahai umat-Ku. Akan Kubawa kamu ke Tanah Israel. 13Kemudian ketika Aku membuka kubur-kuburmu dan membangkitkan kamu dari situ, wahai umat-Ku, kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN. 14Aku akan menaruh Roh-Ku di dalam dirimu sehingga kamu hidup kembali dan Aku akan menempatkan kamu di tanahmu sendiri. Maka kamu akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman dan melaksanakannya, demikianlah firman TUHAN.’ ”
Kerajaan Israel dan Yehuda dipersatukan kembali
15Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, 16“Engkau, wahai anak manusia, ambillah sebatang tongkat dan tulislah di atasnya, ‘Bagi Yehuda, serta orang Israel yang bersekutu dengannya.’ Kemudian ambillah sebatang tongkat lainnya dan tulislah di atasnya, ‘Bagi Yusuf, iaitu tongkat Efraim, serta seluruh keturunan kaum Israel yang bersekutu dengannya.’ 17Sambungkanlah kedua-duanya sehingga menjadi sebatang tongkat sahaja di tanganmu. 18Kalau orang sebangsa denganmu berkata kepadamu, ‘Tidakkah engkau mahu memberitahu kami apa ertinya ini?’ 19Katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Ketahuilah, Aku akan mengambil tongkat Yusuf — yang ada di tangan Efraim — berserta suku-suku Israel yang bersekutu dengannya, dan Aku akan menggabungkannya dengan tongkat Yehuda. Aku akan membuat kedua-duanya menjadi satu batang tongkat sahaja di tangan-Ku.’
20Peganglah tongkat-tongkat yang kautulis itu di hadapan mata mereka 21dan katakan kepada mereka: ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketahuilah, Aku akan mengambil orang Israel daripada kalangan bangsa yang didatangi mereka. Aku akan mengumpulkan mereka dari segala penjuru dan membawa mereka ke tanah mereka. 22Mereka akan Kujadikan satu bangsa di negeri itu, di atas gunung-gunung Israel, kemudian seorang raja akan bertakhta atas mereka semua. Mereka tidak lagi menjadi dua bangsa dan tidak lagi terbahagi kepada dua buah kerajaan. 23Mereka pun tidak akan menajiskan diri lagi dengan berhala mereka, dengan tuhan mereka yang menjijikkan, atau dengan segala pelanggaran mereka. Aku akan menyelamatkan mereka daripada segala tempat mereka berbuat dosa, dan akan menyucikan mereka. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. 24#Yeh 34:24.Hamba-Ku Daud akan menjadi raja mereka dan mereka semua akan mempunyai seorang gembala. Mereka akan hidup menurut peraturan-peraturan-Ku, berpegang teguh pada ketetapan-ketetapan-Ku serta melakukannya. 25Mereka akan tinggal di negeri yang telah Kukurniakan kepada hamba-Ku Yakub, iaitu negeri tempat tinggal nenek moyangmu. Di sana mereka akan tinggal selama-lamanya bersama dengan anak-anak dan cucu-cicit mereka, dan hamba-Ku Daud akan menjadi raja mereka untuk selama-lamanya. 26Aku akan mengikat perjanjian damai dengan mereka, dan itu akan menjadi perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku akan meneguhkan mereka dan melipatgandakan jumlah mereka. Aku akan menempatkan tempat suci-Ku di tengah-tengah mereka untuk selama-lamanya. 27#2Kor 6:16; Why 21:3.Kediaman-Ku akan ada pada mereka; Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku. 28Bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku, TUHAN, menyucikan Israel, pada waktu tempat suci-Ku ada di tengah-tengah mereka untuk selama-lamanya.” ’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
Yehezkiel 37: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited