YEHEZKIEL 37:1-9
YEHEZKIEL 37:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku merasakan kuasa TUHAN, dan Roh-Nya membawa aku ke sebuah lembah yang penuh dengan tulang. TUHAN membawa aku berkeliling lembah itu, dan aku nampak tulang-tulang bertaburan yang sungguh banyak dan sangat kering. Dia berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dapatkah tulang-tulang ini hidup semula?” Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, hanya Engkau yang tahu akan jawapannya!” Dia berfirman, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang itu. Suruhlah tulang-tulang itu mendengar firman TUHAN. Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula. Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.”
YEHEZKIEL 37:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kuasa TUHAN meliputi aku, lalu TUHAN membawa aku keluar dengan perantaraan Roh-Nya dan menempatkan aku di tengah-tengah sebuah lembah. Lembah itu penuh dengan tulang. Kemudian aku dibawa-Nya berjalan keliling untuk mengamati tulang-tulang itu. Ternyata jumlahnya amat banyak di permukaan lembah itu, dan semuanya tampak sangat kering. Firman-Nya kepadaku, “Wahai anak manusia, bolehkah tulang-tulang ini hidup kembali?” Jawabku, “Ya Tuhan ALLAH, hanya Engkaulah yang mengetahui hal itu.” Firman-Nya kepadaku, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang ini dan katakan, ‘Wahai tulang-tulang yang kering, dengarlah firman TUHAN!’ Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada tulang-tulang ini, ‘Sesungguhnya, Aku akan memberikan nafas kepadamu sehingga kamu hidup kembali. Aku akan memberikan urat kepadamu dan menumbuhkan daging padamu. Aku akan menutupi kamu dengan kulit dan memberi kamu nafas sehingga kamu hidup kembali. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Lalu bernubuatlah aku seperti yang diperintahkan kepadaku. Pada waktu aku bernubuat, terdengarlah suatu bunyi, ya, bunyi derak-derak. Tulang-tulang itu berlekatan satu sama lain. Ketika kuamati, tampak urat dan daging tumbuh pada mereka. Kemudian kulit menutupi semuanya, tetapi mereka belum bernyawa. Lalu Dia berfirman kepadaku, “Bernubuatlah pada roh kehidupan. Bernubuatlah, wahai anak manusia! Katakan kepada roh itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Datanglah dari keempat-empat mata angin, wahai roh. Bertiuplah kepada golongan orang yang terbunuh ini supaya mereka hidup kembali.’ ”