YEHEZKIEL 36:6-15

YEHEZKIEL 36:6-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu bernubuatlah kepada negeri Israel. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan dengan sangat murka kepada gunung, bukit, sungai kecil, serta lembah, kerana bangsa-bangsa itu telah menghina dan memandang rendah kepada tempat-tempat itu. Aku, TUHAN Raja, bersumpah bahawa bangsa-bangsa di sekitar itu akan dihina. Tetapi pokok-pokok di pergunungan Israel akan berdaun serta berbuah semula bagi kamu, hai Israel, umat-Ku. Tidak lama lagi kamu akan pulang. Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula. Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh. Aku akan menambah bilangan penduduk dan ternak kamu. Bilangan kamu akan menjadi lebih besar daripada dahulu. Kamu akan beroleh banyak anak. Aku akan membenarkan kamu tinggal di sana seperti dahulu, dan Aku akan membuat kamu lebih makmur seperti yang belum pernah kamu alami. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan. Aku, TUHAN Raja berfirman: Memang benar orang mengatakan negeri ini pemakan orang, dan negeri ini menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak. Tetapi mulai sekarang negeri ini tidak akan memakan orang ataupun menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Negeri ini tidak akan dihina ataupun diejek lagi oleh bangsa-bangsa. Negeri ini tidak akan menghapuskan penduduknya lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.”

YEHEZKIEL 36:6-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh sebab itu bernubuatlah tentang Tanah Israel dan katakan kepada gunung-gunung dan bukit-bukit, kepada alur-alur sungai serta lembah-lembah: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Sesungguhnya, Aku berfirman dalam murka kecemburuan-Ku. Kerana kamu telah menanggung aib daripada bangsa-bangsa, maka beginilah firman Tuhan ALLAH: Aku bersumpah, sesungguhnya bangsa-bangsa di sekelilingmu akan menanggung aib mereka. Tetapi kamu, wahai gunung-gunung Israel, kamu akan mengeluarkan cabang dan menghasilkan buah bagi umat-Ku Israel, kerana mereka akan segera datang. Lihat, Aku ada pada pihakmu dan Aku akan berpaling kepadamu. Kamu akan digarap dan ditaburi benih. Aku akan melipatgandakan jumlah manusia di atasmu, iaitu seluruh keturunan kaum Israel. Kota-kota akan dihuni kembali dan reruntuhan-reruntuhan akan dibangunkan kembali. Jumlah manusia dan binatang di atasmu akan Kulipatgandakan. Mereka akan bertambah banyak dan berkembang biak. Aku akan membuat kamu dihuni kembali seperti asalnya dan Aku akan berbuat baik kepadamu lebih daripada sebelumnya. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membuat manusia, iaitu umat-Ku Israel, berjalan di atasmu. Mereka akan menduduki engkau dan engkau akan menjadi harta pusaka mereka. Engkau tidak akan membuat mereka kehilangan anak lagi.’ Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Kerana orang berkata kepadamu, “Engkau tanah yang memakan orang dan yang membuat bangsamu kehilangan anak,” maka engkau tidak akan lagi memakan orang dan tidak akan lagi membuat bangsamu kehilangan anak, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Aku tidak akan lagi membiarkan engkau mendengar aib daripada bangsa-bangsa, dan engkau tidak akan lagi menanggung cela daripada suku-suku bangsa. Engkau tidak akan lagi membuat bangsamu jatuh, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ ”