Yehezkiel 36:6-15

Yehezkiel 36:6-15 AVB

Oleh sebab itu bernubuatlah tentang Tanah Israel dan katakan kepada gunung-gunung dan bukit-bukit, kepada alur-alur sungai serta lembah-lembah: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Sesungguhnya, Aku berfirman dalam murka kecemburuan-Ku. Kerana kamu telah menanggung aib daripada bangsa-bangsa, maka beginilah firman Tuhan ALLAH: Aku bersumpah, sesungguhnya bangsa-bangsa di sekelilingmu akan menanggung aib mereka. Tetapi kamu, wahai gunung-gunung Israel, kamu akan mengeluarkan cabang dan menghasilkan buah bagi umat-Ku Israel, kerana mereka akan segera datang. Lihat, Aku ada pada pihakmu dan Aku akan berpaling kepadamu. Kamu akan digarap dan ditaburi benih. Aku akan melipatgandakan jumlah manusia di atasmu, iaitu seluruh keturunan kaum Israel. Kota-kota akan dihuni kembali dan reruntuhan-reruntuhan akan dibangunkan kembali. Jumlah manusia dan binatang di atasmu akan Kulipatgandakan. Mereka akan bertambah banyak dan berkembang biak. Aku akan membuat kamu dihuni kembali seperti asalnya dan Aku akan berbuat baik kepadamu lebih daripada sebelumnya. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan membuat manusia, iaitu umat-Ku Israel, berjalan di atasmu. Mereka akan menduduki engkau dan engkau akan menjadi harta pusaka mereka. Engkau tidak akan membuat mereka kehilangan anak lagi.’ Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Kerana orang berkata kepadamu, “Engkau tanah yang memakan orang dan yang membuat bangsamu kehilangan anak,” maka engkau tidak akan lagi memakan orang dan tidak akan lagi membuat bangsamu kehilangan anak, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Aku tidak akan lagi membiarkan engkau mendengar aib daripada bangsa-bangsa, dan engkau tidak akan lagi menanggung cela daripada suku-suku bangsa. Engkau tidak akan lagi membuat bangsamu jatuh, demikianlah firman Tuhan ALLAH.’ ”