YEHEZKIEL 33:7-12
YEHEZKIEL 33:7-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka. Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka. Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’ Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati? Hai manusia fana, beritahulah orang Israel bahawa apabila orang baik berdosa, kebaikan mereka dahulu tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika orang jahat berhenti berbuat dosa, mereka tidak akan dihukum. Sebaliknya jika orang baik mula berdosa, mereka tidak akan diselamatkan.
YEHEZKIEL 33:7-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Wahai anak manusia, engkau telah Kutetapkan untuk menjadi penjaga bagi keturunan kaum Israel. Oleh sebab itu dengarlah firman daripada-Ku dan peringatkanlah mereka atas nama-Ku. Jika Aku berfirman kepada orang fasiq, ‘Wahai orang fasiq, engkau pasti mati,’ tetapi engkau tidak berbicara untuk mengingatkan orang fasiq itu mengenai jalan hidupnya, maka orang fasiq itu akan mati dalam kesalahannya. Namun begitu, darahnya akan Kutuntut daripada tanganmu. Sebaliknya, jika engkau mengingatkan orang fasiq itu supaya bertaubat daripada jalan hidupnya tetapi dia tidak mahu bertaubat daripada jalan hidupnya, maka dia akan mati dalam kesalahannya. Akan tetapi, engkau telah menyelamatkan nyawamu. Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Kamu berkata demikian, ‘Pelanggaran dan dosa kami sudah tertanggung atas kami sehingga kami hancur lumat olehnya. Bagaimanakah kami dapat tetap hidup?’ Katakanlah kepada mereka, ‘Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, Aku tidak menyukai kematian orang fasiq. Aku mahu agar orang fasiq bertaubat daripada perilakunya, supaya dia hidup. Bertaubatlah! Bertaubatlah daripada perilakumu yang jahat itu! Mengapakah kamu harus mati, wahai keturunan kaum Israel?’ Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada orang sebangsa denganmu, ‘Orang benar tidak akan diselamatkan oleh perbenarannya ketika dia melakukan pelanggaran, dan orang fasiq tidak akan dijatuhkan oleh kefasiqannya pada waktu dia bertaubat daripada kefasiqannya. Orang benar tidak akan dapat hidup kerana perbenarannya pada waktu dia berbuat dosa.