YEHEZKIEL 33

33
Allah Melantik Yehezkiel sebagai Penjaga
(Yeh 3.16-21)
1TUHAN berfirman kepadaku, 2“Hai manusia fana, beritahulah bangsamu apa yang akan berlaku apabila Aku mendatangkan peperangan kepada sesuatu negeri. Penduduk negeri itu akan memilih seorang antara mereka sebagai penjaga. 3Apabila penjaga itu nampak musuh datang, dia membunyikan trompet sebagai tanda bahaya supaya semua orang berwaspada. 4Sesiapa mendengar bunyi tanda bahaya itu tetapi tidak mempedulikannya, dan musuh datang lalu membunuh orang itu, maka dia mati kerana kesalahannya sendiri. 5Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat. 6Tetapi jika penjaga itu nampak musuh datang dan tidak membunyikan tanda bahaya, lalu musuh datang serta membunuh orang berdosa, Aku akan menganggap penjaga itu bertanggungjawab atas kematian mereka.
7Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka. 8Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka. 9Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.”
Tanggungjawab Perseorangan
10TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’ 11Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati?
12Hai manusia fana, beritahulah orang Israel bahawa apabila orang baik berdosa, kebaikan mereka dahulu tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika orang jahat berhenti berbuat dosa, mereka tidak akan dihukum. Sebaliknya jika orang baik mula berdosa, mereka tidak akan diselamatkan. 13Aku mungkin menjanjikan hidup kepada orang baik, tetapi jika mereka menyangka bahawa kebaikan mereka dahulu akan menyelamatkan mereka, lalu mereka mula berdosa, Aku tidak akan mengingat kebaikan mereka dahulu. Mereka akan mati kerana dosa mereka. 14Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar - 15umpamanya mereka memulangkan barang orang lain atau memulangkan barang yang telah dicuri mereka - jika mereka berhenti berdosa dan mentaati hukum yang memberikan hidup, mereka tidak akan mati tetapi akan hidup. 16Aku akan mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan mereka, dan mereka akan hidup kerana melakukan apa yang baik dan benar.
17Namun bangsamu mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil! Perbuatan merekalah yang tidak adil! 18Apabila orang baik mula berbuat jahat, mereka akan mati kerana perbuatan jahat itu. 19Apabila orang jahat berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar, mereka akan hidup. 20Meskipun begitu Israel masih mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil. Oleh itu Aku akan menghakimi mereka menurut perbuatan mereka.”
Berita tentang Kejatuhan Yerusalem
21 Pada hari kelima, bulan kesepuluh, tahun kedua belas masa kami dalam buangan, seorang yang melarikan diri dari Yerusalem datang memberitahu aku bahawa kota itu telah jatuh. 22Pada malam sebelum kedatangannya, aku telah merasakan kuasa TUHAN. Ketika orang itu tiba esok paginya, TUHAN membolehkan aku bertutur semula.
Dosa Umat Israel
23TUHAN berfirman kepadaku, 24“Hai manusia fana, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota Israel mengatakan, ‘Abraham hanya satu orang, namun dia mendapat seluruh tanah ini; tetapi kita ini banyak orang, dan tentunya tanah ini menjadi milik kita.’
25Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan kepada mereka: Kamu makan daging yang masih berdarah. Kamu menyembah berhala dan melakukan pembunuhan. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu? 26Kamu berharap kepada pedang kamu. Perbuatan kamu menjijikkan. Kamu semua berzina. Mana boleh kamu berfikir tanah itu milik kamu?
27Sampaikanlah amaran daripada Aku, TUHAN Raja, kepada mereka. Demi Aku, Allah yang hidup, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota itu akan dibunuh. Mereka yang tinggal di kawasan desa akan dimakan binatang buas. Mereka yang bersembunyi di gunung dan di gua akan mati kerana wabak. 28Aku akan menjadikan negeri ini padang gurun yang tandus dan lengang, dan kebesaran yang dibangga-banggakan mereka itu akan berakhir. Gunung-gunung di Israel akan menjadi begitu lengang sehingga tidak seorang pun melintasinya. 29Apabila Aku menghukum umat itu kerana dosa mereka, dan menjadikan negeri itu tandus dan lengang, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”
Israel Tidak Menghiraukan Perkhabaran Nabi
30TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, bangsamu mempercakapkan engkau ketika mereka bertemu dekat tembok kota atau di depan pintu rumah mereka. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita dengarkan apa firman TUHAN hari ini.’ 31Maka mereka semua datang berkumpul dan sebagai umat-Ku mereka mendengar engkau, tetapi mereka tidak melakukan apa yang engkau suruh. Mereka mengucapkan kata-kata manis, tetapi hati mereka hanya memikirkan keuntungan. 32Mereka menganggap engkau seorang penyanyi lagu cinta yang bersuara merdu dan pandai bermain kecapi. Mereka mendengar segala kata-katamu, tetapi tidak mentaatinya. 33Tetapi apabila kata-katamu menjadi kenyataan kelak - dan tentu semuanya akan menjadi kenyataan - barulah mereka tahu bahawa seorang nabi pernah ada di kalangan mereka.”

Terpilih Sekarang Ini:

YEHEZKIEL 33: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk