YEHEZKIEL 33:1-20

YEHEZKIEL 33:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, beritahulah bangsamu apa yang akan berlaku apabila Aku mendatangkan peperangan kepada sesuatu negeri. Penduduk negeri itu akan memilih seorang antara mereka sebagai penjaga. Apabila penjaga itu nampak musuh datang, dia membunyikan trompet sebagai tanda bahaya supaya semua orang berwaspada. Sesiapa mendengar bunyi tanda bahaya itu tetapi tidak mempedulikannya, dan musuh datang lalu membunuh orang itu, maka dia mati kerana kesalahannya sendiri. Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat. Tetapi jika penjaga itu nampak musuh datang dan tidak membunyikan tanda bahaya, lalu musuh datang serta membunuh orang berdosa, Aku akan menganggap penjaga itu bertanggungjawab atas kematian mereka. Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka. Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka. Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.” TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’ Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati? Hai manusia fana, beritahulah orang Israel bahawa apabila orang baik berdosa, kebaikan mereka dahulu tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika orang jahat berhenti berbuat dosa, mereka tidak akan dihukum. Sebaliknya jika orang baik mula berdosa, mereka tidak akan diselamatkan. Aku mungkin menjanjikan hidup kepada orang baik, tetapi jika mereka menyangka bahawa kebaikan mereka dahulu akan menyelamatkan mereka, lalu mereka mula berdosa, Aku tidak akan mengingat kebaikan mereka dahulu. Mereka akan mati kerana dosa mereka. Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar - umpamanya mereka memulangkan barang orang lain atau memulangkan barang yang telah dicuri mereka - jika mereka berhenti berdosa dan mentaati hukum yang memberikan hidup, mereka tidak akan mati tetapi akan hidup. Aku akan mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan mereka, dan mereka akan hidup kerana melakukan apa yang baik dan benar. Namun bangsamu mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil! Perbuatan merekalah yang tidak adil! Apabila orang baik mula berbuat jahat, mereka akan mati kerana perbuatan jahat itu. Apabila orang jahat berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar, mereka akan hidup. Meskipun begitu Israel masih mengatakan bahawa perbuatan-Ku tidak adil. Oleh itu Aku akan menghakimi mereka menurut perbuatan mereka.”

YEHEZKIEL 33:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, berbicaralah kepada orang sebangsa denganmu dan katakanlah kepada mereka, ‘Seandainya Aku mendatangkan pedang terhadap sebuah negeri lalu rakyat negeri itu memilih seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi penjaga. Orang ini kemudian melihat pedang mendatangi negeri itu dan meniup sangkakala untuk memberikan amaran kepada umat. Jika seseorang mendengar bunyi sangkakala itu tetapi tidak mengendahkan peringatan itu sehingga pedang datang merenggut nyawanya, maka darahnya tertanggung atas dirinya sendiri. Atas sebab dia mendengar bunyi sangkakala namun tidak mengendahkan amaran itu, maka darahnya tertanggung kepada dirinya sendiri. Seandainya dia mengendahkan peringatan itu, tentu nyawanya terselamat. Sebaliknya, seandainya penjaga itu melihat pedang datang namun dia tidak meniup sangkakala lantas umat tidak mendapat amaran yang sepatutnya, maka ketika pedang datang merenggut nyawa seorang daripada kalangan mereka, orang itu akan dibinasakan dalam kesalahannya, tetapi darahnya akan Kutuntut daripada tangan penjaga itu.’ Wahai anak manusia, engkau telah Kutetapkan untuk menjadi penjaga bagi keturunan kaum Israel. Oleh sebab itu dengarlah firman daripada-Ku dan peringatkanlah mereka atas nama-Ku. Jika Aku berfirman kepada orang fasiq, ‘Wahai orang fasiq, engkau pasti mati,’ tetapi engkau tidak berbicara untuk mengingatkan orang fasiq itu mengenai jalan hidupnya, maka orang fasiq itu akan mati dalam kesalahannya. Namun begitu, darahnya akan Kutuntut daripada tanganmu. Sebaliknya, jika engkau mengingatkan orang fasiq itu supaya bertaubat daripada jalan hidupnya tetapi dia tidak mahu bertaubat daripada jalan hidupnya, maka dia akan mati dalam kesalahannya. Akan tetapi, engkau telah menyelamatkan nyawamu. Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Kamu berkata demikian, ‘Pelanggaran dan dosa kami sudah tertanggung atas kami sehingga kami hancur lumat olehnya. Bagaimanakah kami dapat tetap hidup?’ Katakanlah kepada mereka, ‘Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, Aku tidak menyukai kematian orang fasiq. Aku mahu agar orang fasiq bertaubat daripada perilakunya, supaya dia hidup. Bertaubatlah! Bertaubatlah daripada perilakumu yang jahat itu! Mengapakah kamu harus mati, wahai keturunan kaum Israel?’ Engkau, wahai anak manusia, katakanlah kepada orang sebangsa denganmu, ‘Orang benar tidak akan diselamatkan oleh perbenarannya ketika dia melakukan pelanggaran, dan orang fasiq tidak akan dijatuhkan oleh kefasiqannya pada waktu dia bertaubat daripada kefasiqannya. Orang benar tidak akan dapat hidup kerana perbenarannya pada waktu dia berbuat dosa. Kalau Aku berfirman kepada orang benar, “Engkau pasti hidup,” tetapi dia meyakini kebenarannya lalu melakukan kezaliman, maka segala perbuatannya yang benar tidak akan diingat lagi. Dia harus mati dalam kezaliman yang dilakukannya. Sebaliknya, kalau Aku berfirman kepada orang fasiq, “Engkau pasti mati,” tetapi dia bertaubat daripada dosanya dan menegakkan apa yang adil serta yang benar — orang fasiq itu mengembalikan gadaian orang, membayar ganti rugi rampasannya, hidup menurut ketetapan-ketetapan yang mendatangkan kehidupan, dan tidak melakukan kezaliman — maka dia pasti hidup dan tidak akan mati. Segala dosa yang dilakukannya tidak akan diingat lagi. Dia pasti hidup, kerana dia telah menegakkan apa yang adil dan benar. Akan tetapi, orang sebangsa denganmu berkata, “Jalan Tuhan tidak adil.” Padahal, jalan merekalah yang tidak adil. Kalau orang benar berbalik daripada kebenarannya dan melakukan kezaliman, dia akan mati kerananya. Sebaliknya, kalau orang fasiq berbalik daripada kefasiqannya dan menegakkan apa yang adil serta benar, dia akan hidup kerananya. Walaupun demikian, kamu berkata, “Jalan Tuhan tidak adil.” Oleh itu, Aku akan menghakimi kamu menurut perilaku masing-masing, wahai keturunan kaum Israel.’ ”