KELUARAN 4:8-17

KELUARAN 4:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.” Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan. Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya. Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”

KELUARAN 4:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Maka, sekiranya mereka tidak mempercayai kamu dan tidak meyakini keajaiban yang pertama, mereka akan percaya setelah melihat keajaiban berikutnya. Akan tetapi, jika mereka masih tidak percaya setelah melihat kedua-dua tanda itu dan enggan mendengar kata-katamu, ambillah air Sungai Nil dan curahkanlah ke tanah yang kering, maka air Sungai Nil itu akan menjadi darah di tanah yang kering itu.” Namun begitu, kata Musa kepada TUHAN, “Ya Tuhan, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.” Firman TUHAN kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, boleh melihat atau buta? Bukankah Aku, iaitu TUHAN? Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.” Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Tuhan, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.” Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya. Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan. Dia harus menjadi jurucakap kamu untuk berbicara kepada orang Israel. Bagi kamu dia bagaikan mulutmu, dan baginya kamu seolah-olah Allah. Kamu bawalah tongkat ini kerana dengan tongkat inilah kamu akan menunjukkan segala keajaiban itu.”