Keluaran 4:8-17

Keluaran 4:8-17 AVB

“Maka, sekiranya mereka tidak mempercayai kamu dan tidak meyakini keajaiban yang pertama, mereka akan percaya setelah melihat keajaiban berikutnya. Akan tetapi, jika mereka masih tidak percaya setelah melihat kedua-dua tanda itu dan enggan mendengar kata-katamu, ambillah air Sungai Nil dan curahkanlah ke tanah yang kering, maka air Sungai Nil itu akan menjadi darah di tanah yang kering itu.” Namun begitu, kata Musa kepada TUHAN, “Ya Tuhan, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.” Firman TUHAN kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, boleh melihat atau buta? Bukankah Aku, iaitu TUHAN? Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.” Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Tuhan, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.” Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya. Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan. Dia harus menjadi jurucakap kamu untuk berbicara kepada orang Israel. Bagi kamu dia bagaikan mulutmu, dan baginya kamu seolah-olah Allah. Kamu bawalah tongkat ini kerana dengan tongkat inilah kamu akan menunjukkan segala keajaiban itu.”