KELUARAN 34:1-9

KELUARAN 34:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan. Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu. Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.” Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN. TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN. Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.” Dengan segera Musa bersujud menyembah. Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”

KELUARAN 34:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping loh batu seperti yang dahulu. Akan Kutulis pada loh-loh batu itu firman yang ada pada loh-loh dahulu, yang telah kaupecahkan itu. Bersiaplah menjelang pagi hari dan pada pagi-pagi lagi dakilah Gunung Sinai. Berdirilah menghadap Aku di sana, di puncak gunung itu. Tiada seorang pun yang boleh naik bersama denganmu dan jangan ada seorang pun yang boleh kelihatan di seluruh gunung itu, bahkan kawanan ternakan pun tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.” Maka Musa memahat dua keping loh batu seperti loh batu yang dahulu itu. Pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping loh batu itu di tangannya seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya. Turunlah TUHAN dalam awan lalu hadir dan berdiri bersama-sama Musa di sana seraya menyeru nama TUHAN. Kemudian TUHAN melintas di hadapan Musa lalu berseru, “TUHAN, ya TUHAN, Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia; Allah mengukuhkan kasih abadi bagi beribu-ribu orang, mengampunkan kesalahan, pelanggaran, dan dosa, tetapi sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, serta membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya dan cucu-cucunya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.” Dengan segera Musa bersujud dan menyembah. Dia berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, maka hadirlah kiranya TUHAN menyertai kami biarpun memang bangsa ini bangsa yang keras kepala. Namun begitu, ampunkanlah kesalahan dan dosa kami, serta terimalah kami untuk menjadi milik-Mu.”