TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan. Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu. Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.” Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN. TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN. Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.” Dengan segera Musa bersujud menyembah. Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”
Baca KELUARAN 34
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: KELUARAN 34:1-9
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video