KELUARAN 2:11-15
KELUARAN 2:11-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Musa sudah dewasa, dia keluar untuk melawat orang Ibrani, orang sebangsanya. Dia melihat bagaimana mereka dipaksa melakukan kerja yang berat. Musa juga nampak seorang Mesir memukul seorang Ibrani, orang bangsa Musa sendiri. Musa melihat di sekeliling, dan apabila dia nampak bahawa tiada sesiapa pun yang mengawasi dia, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir. Pada keesokan harinya Musa pergi ke sana lagi, lalu nampak dua orang Ibrani bergaduh. Musa bertanya kepada orang yang bersalah, “Mengapa engkau memukul orang sebangsamu sendiri?” Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu menjadi pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu hendak membunuh aku sebagaimana kamu membunuh orang Mesir itu?” Musa berasa takut dan berfikir, “Tentu orang sudah mengetahui apa yang telah aku lakukan.” Apabila raja mendengar tentang peristiwa itu, raja cuba mencari jalan untuk membunuh Musa, tetapi Musa melarikan diri ke negeri Midian dan tinggal di sana. Pada suatu hari, Musa sedang duduk dekat sebuah perigi.
KELUARAN 2:11-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu hari, apabila Musa sudah besar, dia keluar untuk bersama-sama para saudara sebangsanya dan melihat bagaimana mereka menanggung beban sebagai buruh paksa. Dia melihat bagaimana seorang warga Mesir memukuli seorang Ibrani, iaitu orang sebangsanya. Setelah menoleh ke sana ke mari, dia mendapati tiada seorang pun di situ, lalu dia membunuh orang Mesir itu dan kemudian menyembunyikan mayat orang itu di dalam pasir. Ketika dia keluar lagi keesokan harinya, dia melihat dua orang Ibrani sedang berkelahi. Bertanyalah dia kepada orang yang bersalah, “Mengapakah kamu memukul rakan sebangsa denganmu?” Jawab orang itu, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu berniat membunuhku sebagaimana kamu membunuh warga Mesir itu?” Maka Musa menjadi takut dan berfikir, “Pasti kejadian itu sudah diketahui orang.” Firaun yang terdengar hal itu pun berikhtiar untuk membunuh Musa, namun Musa sempat melarikan diri daripada Firaun dan tiba di Tanah Midian. Lalu tinggallah dia dekat sebuah perigi di tempat itu.