KELUARAN 15:1-12

KELUARAN 15:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Musa dan orang Israel menyanyikan lagu ini untuk TUHAN, “Aku hendak menyanyi untuk TUHAN kerana Dia telah mendapat kemenangan yang cemerlang; Dia telah membuang kuda dan penunggang kuda ke dalam laut. TUHAN pembelaku yang kuat; Dialah yang telah menyelamatkan aku. Dialah Allahku, dan aku akan memuji Dia; Dia Allah yang disembah bapaku, dan aku akan menyanyikan kebesaran-Nya. TUHAN ialah pahlawan; TUHAN ialah nama-Nya. Dia membuang tentera Mesir dan kereta kuda mereka ke dalam laut; para pegawai tentera yang terbaik lemas di Laut Gelagah. Laut yang dalam meliputi mereka, mereka tenggelam ke dasar laut seperti batu. Ya TUHAN, kekuatan-Mu, sungguh menakjubkan; Engkau menghancurkan musuh sehingga hancur luluh. Dengan keagungan yang hebat, Engkau menggulingkan musuh-Mu; kemurkaan-Mu menyala dan membakar mereka seperti jerami. Engkau meniup laut sehingga airnya tertompok tinggi; airnya tegak lurus seperti tembok; dasarnya yang paling dalam menjadi kering. Musuh berkata, ‘Aku akan mengejar dan menangkap mereka; aku akan membahagi-bahagikan kekayaan mereka, dan mengambil segala yang aku kehendaki; aku akan menghunus pedangku dan mengambil segala milik mereka.’ Tetapi dengan hanya satu hembusan nafas-Mu, ya TUHAN, orang Mesir tenggelam; mereka tenggelam seperti timah di dalam air yang dahsyat. Ya TUHAN, siapakah antara tuhan-tuhan yang seperti Engkau? Siapakah yang seperti Engkau, mulia dan suci? Siapakah yang dapat melakukan mukjizat dan perbuatan menakjubkan seperti yang Engkau lakukan? Engkau menghulurkan tangan kanan-Mu, lalu bumi menelan musuh-musuh kami.

KELUARAN 15:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka Musa dan orang Israel memanjatkan nyanyian ini bagi TUHAN. Demikianlah bunyinya, “Akan kupanjatkan nyanyian kepada TUHAN kerana Dia amat termulia, kuda dan penunggangnya dicampakkan-Nya ke dalam laut. TUHAN itu kekuatanku dan puji-pujianku, Dia menjadi penyelamatanku. Dialah Allahku, aku bernyanyi memuji Dia, Dia Allah ayahku, aku akan meninggikan Dia. TUHAN itu pejuang, TUHAN, itulah nama-Nya. Rata Firaun dan pasukannya dibuang-Nya ke dalam laut. Para ketua tentera pilihannya pun dibenamkan ke dalam Laut Merah. Samudera meliputi mereka, seperti batu, mereka tenggelam ke dasar air. Tangan kanan-Mu, ya TUHAN, mulia dalam kekuatan, tangan kanan-Mu, ya TUHAN, menghancurleburkan musuh. Dengan keagungan-Mu yang cemerlang Engkau menjatuhkan orang yang bangkit melawan Engkau. Engkau melepaskan murka-Mu yang menyala-nyala, yang memakan habis mereka seperti tunggul jerami. Dengan hembusan nafas-Mu sendiri, bertimbun-timbunlah air. Membumbunglah air berdiri tegak bagaikan longgokan, sedangkan air di dasarnya membeku di pusat laut. Kata musuh, ‘Aku mahu mengejar, aku mahu menyusul, aku mahu membahagi-bahagikan hasil jarahan. Aku akan memuaskan nafsuku terhadap mereka dan aku mahu menghunus pedangku. Tanganku akan membinasakan mereka!’ Engkau meniup dengan angin-Mu, dan laut pun meliputi mereka. Mereka tenggelam seperti perum dalam kehebatan kuasa air itu. Siapakah seperti Engkau di antara tuhan, ya TUHAN? Siapakah seperti Engkau, mulia dalam kesucian, mengerikan dalam puji-pujian, wahai Engkau pembuat keajaiban? Engkau menghulurkan tangan-Mu, maka bumi pun menelan mereka.