KELUARAN 15:1-12

KELUARAN 15:1-12 BM

Kemudian Musa dan orang Israel menyanyikan lagu ini untuk TUHAN, “Aku hendak menyanyi untuk TUHAN kerana Dia telah mendapat kemenangan yang cemerlang; Dia telah membuang kuda dan penunggang kuda ke dalam laut. TUHAN pembelaku yang kuat; Dialah yang telah menyelamatkan aku. Dialah Allahku, dan aku akan memuji Dia; Dia Allah yang disembah bapaku, dan aku akan menyanyikan kebesaran-Nya. TUHAN ialah pahlawan; TUHAN ialah nama-Nya. Dia membuang tentera Mesir dan kereta kuda mereka ke dalam laut; para pegawai tentera yang terbaik lemas di Laut Gelagah. Laut yang dalam meliputi mereka, mereka tenggelam ke dasar laut seperti batu. Ya TUHAN, kekuatan-Mu, sungguh menakjubkan; Engkau menghancurkan musuh sehingga hancur luluh. Dengan keagungan yang hebat, Engkau menggulingkan musuh-Mu; kemurkaan-Mu menyala dan membakar mereka seperti jerami. Engkau meniup laut sehingga airnya tertompok tinggi; airnya tegak lurus seperti tembok; dasarnya yang paling dalam menjadi kering. Musuh berkata, ‘Aku akan mengejar dan menangkap mereka; aku akan membahagi-bahagikan kekayaan mereka, dan mengambil segala yang aku kehendaki; aku akan menghunus pedangku dan mengambil segala milik mereka.’ Tetapi dengan hanya satu hembusan nafas-Mu, ya TUHAN, orang Mesir tenggelam; mereka tenggelam seperti timah di dalam air yang dahsyat. Ya TUHAN, siapakah antara tuhan-tuhan yang seperti Engkau? Siapakah yang seperti Engkau, mulia dan suci? Siapakah yang dapat melakukan mukjizat dan perbuatan menakjubkan seperti yang Engkau lakukan? Engkau menghulurkan tangan kanan-Mu, lalu bumi menelan musuh-musuh kami.