KELUARAN 1:8-22
KELUARAN 1:8-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah negeri Mesir. Raja itu bertitah kepada rakyat, “Orang Israel sangat berbahaya bagi kita, kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita. Sekiranya berlaku peperangan, ada kemungkinan mereka bergabung dengan musuh untuk menentang kita, lalu lari meninggalkan negeri ini. Kita mesti mencari jalan supaya bilangan mereka tidak bertambah lagi.” Oleh itu orang Mesir melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa. Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses yang dijadikan pusat penyimpanan perbekalan bagi raja Mesir. Tetapi semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka, dan mereka tersebar luas di seluruh negeri itu, sehingga orang Mesir takut kepada mereka. Orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, dan menyebabkan hidup mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang. Kemudian raja Mesir memberikan perintah kepada Sifra dan Pua, bidan-bidan yang menolong perempuan Ibrani bersalin. Raja Mesir bertitah, “Pada masa kamu menolong perempuan Ibrani bersalin, ingatlah akan hal ini: Jika bayi itu lelaki, bunuhlah dia. Jika bayi itu perempuan, biarkan dia hidup.” Tetapi bidan-bidan itu takut akan Allah. Mereka tidak mahu melaksanakan perintah raja, sebaliknya mereka membiarkan bayi lelaki hidup. Kemudian raja memanggil bidan-bidan itu dan bertanya, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Mengapa kamu membiarkan bayi lelaki hidup?” Mereka menjawab, “Perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir; perempuan Ibrani melahirkan anak dengan mudah saja. Sebelum bidan tiba, bayi sudah dilahirkan.” Oleh itu Allah memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik dan mengurniakan keturunan kepada mereka, kerana mereka takut akan Allah. Orang Israel pun bertambah banyak dan kuat. Kemudian raja Mesir bertitah kepada segenap rakyat, “Tiap-tiap anak lelaki orang Ibrani mesti dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi semua anak perempuan mereka boleh dibiarkan hidup.”
KELUARAN 1:8-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian seorang raja baru yang tidak kenal akan Yusuf memerintah kerajaan Mesir. Dia berkata kepada rakyatnya, “Lihatlah, betapa rakyat orang Israel ini menjadi teramat ramai dan lebih kuat daripada kita. Mari kita cari akal mengatasi mereka. Jika tidak, mereka akan terus bertambah ramai, dan jika berlaku perang mereka akan bersekutu dengan para musuh kita lalu berperang melawan kita dan meninggalkan negeri ini.” Maka warga Mesir melantik tukang kerah atas orang Israel untuk menindas mereka serta menjadikan mereka buruh paksa. Mereka membangunkan kota perbekalan, iaitu Pitom dan Raamses untuk Firaun. Walau bagaimanapun, semakin tertindas, bilangan mereka semakin ramai dan terus berkembang, lantas warga Mesir menjadi takut kepada orang Israel. Maka semakin kuat dan kejamlah warga Mesir menzalimi orang Israel, dan menjadikan kehidupan mereka menderita dalam perhambaan yang cukup perit. Mereka dipaksa mengerjakan tanah liat dan batu bata serta semua jenis pekerjaan yang menjerihkan di padang. Raja Mesir juga memerintahkan para bidan orang Ibrani, iaitu seorang yang bernama Sifra dan nama yang seorang lagi pula Pua, katanya, “Sewaktu kamu membidani para wanita Ibrani, awasilah mereka di tempat bersalin. Jika anak yang dilahirkan mereka itu lelaki, kamu harus membunuh anak itu, tetapi jika anak itu perempuan biarkan anak itu hidup.” Namun begitu, kerana bidan-bidan itu takut kepada Allah, mereka tidak bertindak mengikut seperti yang diperintahkan oleh raja Mesir kepada mereka. Mereka membiarkan hidup anak-anak lelaki yang lahir. Lalu raja Mesir memanggil para bidan itu dan bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan hal ini, membiarkan para bayi lelaki hidup?” Jawab para bidan itu kepada Firaun, “Sebabnya perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir. Mereka lebih kuat. Sebelum bidan tiba, mereka sudah siap bersalin.” Maka Allah memberkati para bidan itu, dan orang Israel terus bertambah ramai dan menjadi sangat kuat. Selain itu, kerana para bidan itu takut kepada Allah, Dia memberkati mereka dengan kaum keluarga mereka sendiri. Akhirnya Firaun memerintahkan sedemikian kepada seluruh rakyatnya, “Semua anak lelaki orang Israel yang dilahirkan hendaklah kamu buang ke dalam Sungai Nil, tetapi biarkan semua anak perempuan mereka hidup.”