Kemudian seorang raja baru yang tidak kenal akan Yusuf memerintah kerajaan Mesir. Dia berkata kepada rakyatnya, “Lihatlah, betapa rakyat orang Israel ini menjadi teramat ramai dan lebih kuat daripada kita. Mari kita cari akal mengatasi mereka. Jika tidak, mereka akan terus bertambah ramai, dan jika berlaku perang mereka akan bersekutu dengan para musuh kita lalu berperang melawan kita dan meninggalkan negeri ini.” Maka warga Mesir melantik tukang kerah atas orang Israel untuk menindas mereka serta menjadikan mereka buruh paksa. Mereka membangunkan kota perbekalan, iaitu Pitom dan Raamses untuk Firaun. Walau bagaimanapun, semakin tertindas, bilangan mereka semakin ramai dan terus berkembang, lantas warga Mesir menjadi takut kepada orang Israel. Maka semakin kuat dan kejamlah warga Mesir menzalimi orang Israel, dan menjadikan kehidupan mereka menderita dalam perhambaan yang cukup perit. Mereka dipaksa mengerjakan tanah liat dan batu bata serta semua jenis pekerjaan yang menjerihkan di padang.
Raja Mesir juga memerintahkan para bidan orang Ibrani, iaitu seorang yang bernama Sifra dan nama yang seorang lagi pula Pua, katanya, “Sewaktu kamu membidani para wanita Ibrani, awasilah mereka di tempat bersalin. Jika anak yang dilahirkan mereka itu lelaki, kamu harus membunuh anak itu, tetapi jika anak itu perempuan biarkan anak itu hidup.” Namun begitu, kerana bidan-bidan itu takut kepada Allah, mereka tidak bertindak mengikut seperti yang diperintahkan oleh raja Mesir kepada mereka. Mereka membiarkan hidup anak-anak lelaki yang lahir. Lalu raja Mesir memanggil para bidan itu dan bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan hal ini, membiarkan para bayi lelaki hidup?”
Jawab para bidan itu kepada Firaun, “Sebabnya perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir. Mereka lebih kuat. Sebelum bidan tiba, mereka sudah siap bersalin.” Maka Allah memberkati para bidan itu, dan orang Israel terus bertambah ramai dan menjadi sangat kuat. Selain itu, kerana para bidan itu takut kepada Allah, Dia memberkati mereka dengan kaum keluarga mereka sendiri. Akhirnya Firaun memerintahkan sedemikian kepada seluruh rakyatnya, “Semua anak lelaki orang Israel yang dilahirkan hendaklah kamu buang ke dalam Sungai Nil, tetapi biarkan semua anak perempuan mereka hidup.”