ESTER 9:20-32

ESTER 9:20-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu Mordekhai mencatatkan kejadian itu. Dia mengirim surat kepada semua orang Yahudi, baik yang dekat mahupun yang jauh, di seluruh Kerajaan Persia. Dia menyuruh mereka merayakan hari keempat belas dan hari kelima belas bulan Adar pada tiap-tiap tahun. Hal itu demikian kerana pada hari itulah mereka telah mengalahkan musuh, sehingga kesedihan dan kepedihan mereka berubah menjadi kegembiraan dan kebahagiaan. Oleh itu, mereka harus merayakan hari-hari itu dengan pesta dan jamuan serta saling memberikan makanan, dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Orang Yahudi menurut perintah Mordekhai itu, lalu perayaan itu menjadi perayaan tahunan. Haman anak Hamedata, keturunan Agag dan musuh orang Yahudi, sudah membuang undi yang disebut “purim”, untuk menentukan hari bagi pembunuhan orang Yahudi. Dia sudah bertekad untuk menghapuskan mereka dari muka bumi. Tetapi Ester menghadap raja, dan raja mengeluarkan titah bertulis, sehingga Haman menanggung akibat komplotnya terhadap orang Yahudi. Dia dan anak-anak lelakinya digantung pada tiang penggantungan. Itulah sebabnya perayaan itu dinamakan Purim. Oleh sebab surat Mordekhai dan segala yang sudah dialami orang Yahudi, mereka membuat peraturan bagi mereka dan keturunan mereka, dan siapa sahaja yang menjadi warga bangsa Yahudi diwajibkan untuk merayakan dua hari itu tiap-tiap tahun, seperti yang sudah ditentukan oleh Mordekhai. Mereka membuat satu peraturan, bahawa setiap keluarga Yahudi daripada semua generasi yang akan datang, di semua wilayah dan kota, harus ingat untuk merayakan perayaan Purim selama-lamanya. Di samping itu, bersama dengan surat Mordekhai, Permaisuri Ester anak Abihail menulis surat kedua, yang memperkuat isi surat Mordekhai tentang Purim. Surat itu dikirim kepada semua orang Yahudi, dan salinannya dikirim ke 127 buah wilayah di Kerajaan Persia. Surat itu disertai doa agar bangsa Yahudi selalu sejahtera dan aman. Surat itu menganjurkan supaya mereka dan keturunan mereka merayakan perayaan Purim pada masa yang ditetapkan, sebagaimana mereka memperingati masa puasa dan masa berkabung. Demikianlah yang diperintahkan oleh Mordekhai dan Permaisuri Ester. Perintah Ester yang menetapkan peraturan tentang perayaan Purim itu dicatat di dalam sebuah gulungan naskhah.

ESTER 9:20-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Mordekhai mencatat segala peristiwa itu dan mengutus surat kepada semua orang Yahudi yang tinggal di seluruh wilayah Raja Ahasyweros, baik yang dekat mahupun yang jauh demi menyuruh mereka untuk merayakan hari keempat belas dan hari kelima belas pada bulan Adar setiap tahun. Pada hari-hari itulah orang Yahudi berasa lega daripada musuh-musuh mereka dan pada bulan itulah dukacita mereka berubah menjadi sukacita, dan hari perkabungan mereka menjadi hari keraian. Mereka hendaklah menjadikan hari-hari itu sebagai hari keraian dan jamuan, hari yang baik untuk saling mengirim makanan dan memberikan sedekah kepada kalangan miskin. Maka orang Yahudi terikat dengan perkara yang sudah mulai dilakukan mereka itu dan yang ditulis oleh Mordekhai kepada mereka. Sememangnya Haman anak Hamedata, bani Agag, musuh semua orang Yahudi itu, merancangkan untuk membinasakan orang Yahudi. Dia telah membuang pur, iaitu undi, untuk menghancurkan dan membinasakan mereka. Tetapi apabila perkara itu disampaikan kepada raja, maka melalui suratnya, baginda memerintahkan agar rancangan jahat yang digagaskan oleh Haman terhadap orang Yahudi itu dibalikkan atas dirinya sendiri, hinggakan dia serta anak-anaknya digantung di tempat penggantungan. Atas sebab itulah hari-hari itu dinamai Purim, bersempena dengan kata pur. Jadi, berdasarkan seluruh isi surat itu dan segala yang telah dilihat mereka sehubungan dengan hal itu dan apa yang telah menimpa mereka, orang Yahudi menerima sebagai ketetapan dan kewajipan atas diri mereka, atas keturunan mereka, dan atas semua orang yang bergabung dengan mereka, bahawa mereka tidak akan lalai merayakan kedua-dua hari itu menurut apa yang tertulis mengenai hal itu dan menurut waktu yang ditentukan setiap tahun. Hari-hari itu akan diperingati dan dirayakan oleh setiap keturunan, setiap kaum, setiap wilayah, juga setiap kota. Hari-hari Purim itu tidak akan lenyap daripada kehidupan orang Yahudi dan peringatannya tidak akan luput daripada seluruh keturunan mereka. Kemudian, dengan segala kekuasaannya, Ratu Ester anak Abihail menulis surat bersama-sama Mordekhai, orang Yahudi itu, untuk mengesahkan surat kedua mengenai Purim. Mordekhai mengirimkan surat-surat kepada semua orang Yahudi di seratus dua puluh tujuh buah wilayah Raja Ahasyweros, dengan ucapan salam dan ketulusan. Isinya menetapkan hari-hari Purim itu pada waktu yang ditentukan, sebagaimana yang telah ditetapkan bagi mereka oleh Mordekhai, orang Yahudi itu, juga oleh Ratu Ester, dan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mereka sendiri bagi diri mereka sendiri serta bagi keturunan mereka dalam hal berpuasa dan meratap. Perintah Ester yang menetapkan hal Purim itu, kemudian hal itu dicatat secara rasmi di dalam buku.