Selepas itu Mordekhai mencatatkan kejadian itu. Dia mengirim surat kepada semua orang Yahudi, baik yang dekat mahupun yang jauh, di seluruh Kerajaan Persia. Dia menyuruh mereka merayakan hari keempat belas dan hari kelima belas bulan Adar pada tiap-tiap tahun. Hal itu demikian kerana pada hari itulah mereka telah mengalahkan musuh, sehingga kesedihan dan kepedihan mereka berubah menjadi kegembiraan dan kebahagiaan. Oleh itu, mereka harus merayakan hari-hari itu dengan pesta dan jamuan serta saling memberikan makanan, dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Orang Yahudi menurut perintah Mordekhai itu, lalu perayaan itu menjadi perayaan tahunan. Haman anak Hamedata, keturunan Agag dan musuh orang Yahudi, sudah membuang undi yang disebut “purim”, untuk menentukan hari bagi pembunuhan orang Yahudi. Dia sudah bertekad untuk menghapuskan mereka dari muka bumi. Tetapi Ester menghadap raja, dan raja mengeluarkan titah bertulis, sehingga Haman menanggung akibat komplotnya terhadap orang Yahudi. Dia dan anak-anak lelakinya digantung pada tiang penggantungan. Itulah sebabnya perayaan itu dinamakan Purim. Oleh sebab surat Mordekhai dan segala yang sudah dialami orang Yahudi, mereka membuat peraturan bagi mereka dan keturunan mereka, dan siapa sahaja yang menjadi warga bangsa Yahudi diwajibkan untuk merayakan dua hari itu tiap-tiap tahun, seperti yang sudah ditentukan oleh Mordekhai. Mereka membuat satu peraturan, bahawa setiap keluarga Yahudi daripada semua generasi yang akan datang, di semua wilayah dan kota, harus ingat untuk merayakan perayaan Purim selama-lamanya. Di samping itu, bersama dengan surat Mordekhai, Permaisuri Ester anak Abihail menulis surat kedua, yang memperkuat isi surat Mordekhai tentang Purim. Surat itu dikirim kepada semua orang Yahudi, dan salinannya dikirim ke 127 buah wilayah di Kerajaan Persia. Surat itu disertai doa agar bangsa Yahudi selalu sejahtera dan aman. Surat itu menganjurkan supaya mereka dan keturunan mereka merayakan perayaan Purim pada masa yang ditetapkan, sebagaimana mereka memperingati masa puasa dan masa berkabung. Demikianlah yang diperintahkan oleh Mordekhai dan Permaisuri Ester. Perintah Ester yang menetapkan peraturan tentang perayaan Purim itu dicatat di dalam sebuah gulungan naskhah.
Baca ESTER 9
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: ESTER 9:20-32
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video