ESTER 4:10-17
ESTER 4:10-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi Ester mengutus Hatah kembali kepada Mordekhai dengan pesan berikut, “Sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, akan dihukum mati, jika dia masuk menghadap raja di istana, di halaman bahagian dalam, tanpa dipanggil oleh raja sendiri. Itulah undang-undang, dan semua orang, baik penasihat raja mahupun rakyat jelata, mengetahui hal itu. Ada satu jalan saja untuk lepas daripada undang-undang itu, iaitu apabila raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang yang datang menghadap. Tetapi sudah satu bulan raja tidak memanggil saya.” Selepas Mordekhai menerima pesan Ester itu, dia mengirim amaran berikut kepada Ester, “Jangan sangka bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri dalam keadaan seperti ini, orang Yahudi pasti akan mendapat pertolongan dari syurga, tetapi kamu sendiri akan mati dan keluarga bapamu akan berakhir. Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!” Kemudian Ester mengirimkan pesan berikut kepada Mordekhai, “Suruhlah semua orang Yahudi di Susan berkumpul. Suruhlah mereka berpuasa dan berdoa bagi saya. Jangan makan atau minum apa-apa pun selama tiga hari dan tiga malam. Saya sendiri dan dayang-dayang saya pun akan berbuat demikian. Setelah itu saya akan menghadap raja, walaupun perbuatan itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati kerana hal itu, biarlah saya mati!” Kemudian Mordekhai pergi dari situ dan melakukan semua yang dipesankan oleh Ester.
ESTER 4:10-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai, “Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja.” Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.” Lalu Ester menyuruh agar jawapan ini disampaikan kepada Mordekhai, “Pergilah, kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum selama tiga hari, baik malam mahupun siang. Aku dan para dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa.” Maka pergilah Mordekhai lalu dilakukannya sebagaimana yang diarahkan oleh Ester kepadanya.