Ester 4:10-17

Ester 4:10-17 AVB

Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai, “Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja.” Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, “Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu.” Lalu Ester menyuruh agar jawapan ini disampaikan kepada Mordekhai, “Pergilah, kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum selama tiga hari, baik malam mahupun siang. Aku dan para dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa.” Maka pergilah Mordekhai lalu dilakukannya sebagaimana yang diarahkan oleh Ester kepadanya.