EFESUS 6:1-24

EFESUS 6:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan. “Hormatilah ibu bapamu” adalah perintah pertama daripada Allah yang disertai janji: “supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi.” Hai bapa-bapa, janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, didiklah mereka dengan ajaran dan nasihat Tuhan. Hai abdi, hormatilah tuan kamu dan taatilah mereka dengan sepenuhnya. Lakukanlah semuanya dengan hati yang ikhlas, seperti kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh Kristus. Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, untuk mendapat pujian mereka. Tetapi sebagai abdi Kristus, kamu harus melakukan kehendak Allah dengan sepenuh hati. Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia. Ketahuilah bahawa setiap orang, baik abdi ataupun orang bebas, akan menerima pahala daripada Tuhan bagi semua perbuatan baik yang dilakukannya. Hai pemilik abdi, perlakukanlah abdi kamu dengan sepatutnya. Jangan lagi gunakan ancaman. Ketahuilah bahawa kamu dan abdi kamu dimiliki oleh satu tuan, iaitu Tuhan yang di syurga, yang menghakimi semua orang dengan adil. Akhirnya, binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu dengan Dia. Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat. Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini. Oleh itu, sekarang, pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya pada hari yang jahat kamu dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh. Dengan demikian setelah kamu berjuang sampai akhir, kamu tidak akan berganjak sedikit pun. Oleh itu, kamu harus bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada. Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan menjadi seperti kasutmu. Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman Allah sebagai pedang daripada Roh Allah. Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah. Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh Allah memimpin kamu. Oleh itu, bersiap sedialah dan janganlah menyerah. Berdoalah sentiasa untuk semua umat Allah. Berdoalah untukku juga, supaya Allah memberitahu aku apa yang harus aku katakan, ketika menyampaikan perkhabaran. Berdoalah supaya dengan berani aku dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu. Kerana Berita Baik itulah, aku menjadi seorang duta, walaupun aku sekarang dipenjarakan. Berdoalah supaya aku berani berkata-kata tentang Berita Baik itu, sebagaimana yang harus aku lakukan. Tikhikus, saudara yang kita kasihi dan hamba yang setia dalam pekerjaan Tuhan, akan memberitahu kamu segala sesuatu tentang aku, supaya kamu mengetahui keadaanku. Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu untuk memberitahu kamu keadaan kami semua, supaya kamu berbesar hati. Semoga Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus menolong semua orang Kristian hidup rukun, saling mengasihi, dan tetap percaya kepada Kristus. Semoga Allah memberkati semua orang yang mengasihi Tuhan kita Yesus Kristus dengan kasih yang tidak kunjung padam.

EFESUS 6:1-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

KANAK kanak, turotlah prentah ibu bapamu kŭrna Tuhan, sŭbab patutlah dŭmkian. Maka handaklah angkau bri hormat akan ibu bapamu; iya itulah hukum yang pŭrtama dŭngan pŭrjanjiannya. Supaya angkau slamat, dan supaya umormu pun dilanjutkan diatas bumi. Bapa bapa, janganlah kamu mŭmbuat marah hati anak anakmu: mŭlainkan pliharakanlah dia itu dŭngan pŭngajaran dan nasihat deripada Tuhan. Hamba hamba, handaklah kamu mŭnurot prentah tuanmu dalam dunia ini, dŭngan takut dan gŭmŭntar, dŭngan tulos hatimu, spŭrti mŭnurot prentah Almasih. Janganlah dŭngan muka muka spŭrti orang mŭnyukakan orang, mŭlainkan spŭrti hamba hamba Almasih yang bŭrbuat kahandak Allah dŭngan hati, Sŭrta dŭngan niat yang baik, kŭrjalah spŭrti kapada Tuhan, bukannya bagie manusia. Sŭbab kami mŭngatahui, adapun barang pŭrkara, baik yang dipŭrbuat ulih sbarang orang, maka itulah juga kŭlak akan ditrimanya deripada Tuhan, baik hamba atau mŭrdehka. Tuan tuan pun, handaklah kamu bŭrbuat dŭmkianlah juga kapada marika itu; tahankan gŭrtak, kŭrna kamu kŭtahui, bahwa Tuhanmu ada dalam langit, maka tiadalah iya mŭngindahkan muka manusia. Akhirnya saudara saudaraku, handaklah kamu gagah bagie Tuhan, sŭrta dŭngan kuat kwasanya. Maka kŭnakanlah sagala kŭlangkapan pŭprangan Allah, supaya kŭlak kamu bulih bŭrdiri mŭlawan sagala daya upaya iblis. Kŭrna kami tiada bŭrgumul mŭlawan darah daging, mŭlainkan iya itu mŭlawan sagala pŭnghulu, dan sagala pŭnguasaan, dan sagala pŭmrentah kaglapan dunia ini, dan mŭlawan sagala kajahatan jin ditŭmpat tinggi. Maka sŭbab itu handaklah kamu mŭngŭnakan sagala kŭlangkapan pŭprangan Allah, supaya kŭlak kamu bulih tahan pada masa yang jahat, sŭtlah sudahlah skaliannya itu, maka bŭrdirilah tŭtap. Maka sŭbab itu bŭrdirilah kamu bŭrikat kŭliling pinggangmu dŭngan kabŭnaran, dan mŭngŭnakan baju brantie kasuchian. Dan kakimu bŭralas dŭngan kŭlangkapan Injil pŭrdamiean; Maka diatas skalian itu, kŭnakanlah pula prisie iman, maka dŭngan itulah kŭlak kamu bulih mŭmadamkan sagala pancharan api sijahat itu. Maka handaklah kamu mŭngŭnakan kŭtopong slamat dan pŭdang Roh, iya itu fŭrman Allah. Pintalah doa slalu dŭngan bŭrbagie bagie doa, dan pŭrmintaan dŭngan tulongan Roh, dan bŭrjaga jaga dalam hal itu dŭngan sagala usaha, dan pŭrmintaan kŭrna sagala orang salih. Dan kŭrna aku pun, supaya kwasa bŭrtutor itu dikurniakan padaku, supaya aku bulih mŭmbuka mulotku dŭngan brani, akan mŭma’lomkan rahsia Injil itu. Maka deri kŭrna itulah juga aku sa’orang utusan yang ada bŭrantie, maka dalamnya itu supaya aku bulih bŭrtutor dŭngan brani spŭrti yang patut aku bŭrtutor. Supaya kamu bulih mŭngatahui akan sagala hal ahwalku, dan bagimana ka’adaanku; maka siTiekikus sa’orang saudara yang kŭkasih itu, dan utusan yang sŭtiawan pada Tuhan, bulihlah mŭnyatakan pada kamu skalian pŭrkara itu. Dialah aku mŭngirimkan padamu deri kŭrna kahandak itu juga, supaya kamu bulih mŭngatahui akan sagala hal ahwal kami; dan lagi pun supaya iya bulih mŭnghiburkan hati kamu. Bahwa slamatlah kiranya pada sagala saudara, dan kasih bŭsŭrta iman deripada Allah Ayah, dan Tuhan Isa Almasih. Biarlah kiranya nikmat ada bagie sagala orang yang mŭngasihi akan Tuhan kami Isa Almasih dŭngan tulos hati: Amin. ¶ Tŭrmaktob surat ini deri nŭgri Rom, dikirimkan kapada orang Efesus ditangan Tiekikus.

EFESUS 6:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar. “Hormatilah ibu bapamu” — iaitu perintah pertama yang disertai dengan janji — “supaya kamu mendapat kebaikan dan umurmu panjang di bumi ini.” Kamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan. Hamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada Kristus. Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba Kristus, melakukan kehendak Allah setulus hati. Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia. Ketahuilah bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka. Kamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata. Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya. Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis. Sebabnya kita berlawan bukan dengan darah dan daging, tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara. Oleh itu, pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kamu melakukan segalanya. Dengan demikian, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggangmu dengan tali pinggang kebenaran, memakai perbenaran sebagai perisai dada, menyarungkan ke kakimu persediaan menyebarkan Injil perdamaian. Yang paling utama, memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana, dan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah. Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih. Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil, sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara, supaya dengannya aku dapat bertutur dengan berani, sebagaimana sepatutnya aku bertutur. Tetapi supaya kamu tahu hal ehwalku dan bagaimana keadaanku, maka Tikhikus, seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang beriman kepada Tuhan, akan memberitahu segalanya kepadamu. Aku menghantarnya kepadamu untuk tujuan ini, supaya kamu mengetahui hal ehwal kami dan dia dapat menggalakkan hatimu. Damai sejahtera kepada saudara-saudara kita, dan kasih dengan iman daripada Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus. Kasih kurnia Allah bagi semua yang mengasihi Tuhan kita Yesus Kristus dengan kasih yang kekal.

EFESUS 6:1-24

EFESUS 6:1-24 BM

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami