EFESUS 3:8-21

EFESUS 3:8-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu. Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah. Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin.

EFESUS 3:8-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kapada aku inilah orang yang tŭrkŭchil skali deri antara sagala orang salih itu, tŭlah dikurniakannya anugrah ini, supaya kumashorkan diantara orang sŭsat kŭkayaan Almasih yang tiada dapat tŭrduga itu. Dan supaya bulih ditampak ulih sagala orang akan hal pŭrulihan rahsia yang deripada pŭrmulaan dunia, tŭlah tŭrsŭmbunyi kapada Allah, yang tŭlah mŭnjadikan sagala pŭrkara ulih Isa Almasih. Supaya skarang hikmat Allah yang bŭrbagie bagie itu dinyatakan kŭlak ulih sidang jŭmaah kapada sagala pŭmrentah, dan pŭnguasaan dalam shorga itu. Maka iya itu mŭnurot kahandak yang kŭkal, yang tŭlah diadakannya ulih Isa Almasih Tuhan kami. Maka deripadanyalah juga kami tŭlah bŭrulih brani, dan kwasa mŭngadap dŭngan harap, ulih bŭriman akan dia. Sŭbab itulah aku minta supaya janganlah lŭmah hati kamu, tŭgal kasukaranku kŭrna kamu itu yang mŭndatangkan kamulian bagiemu. Maka ulih sŭbab itu aku bŭrtŭlotkan lutotku kapada Ayah Tuhan kami Isa Almasih itu. Maka deripadanyalah juga tŭlah dinamai sagala kŭlorga isi langit dan bumi. Supaya dikurniakannya kapada kamu mŭnurot kŭkayaan kamuliannya, akan mŭnjadi kuat sangat ulih Rohnya dalam hati itu; Supaya Almasih bulih dudok dalam hati kamu dŭngan iman, dan supaya kamu yang tŭlah diakar dan dialasi dalam kasih, Bulihlah mŭngarti bŭsŭrta dŭngan sagala orang orang salih, bŭtapa lebarannya, dan panjangannya, dan dalamannya, dan tinggiannya. Dan lagi akan mŭngatahui kasih Almasih itu yang tŭrlampau deripada pŭngatahuan, supaya kamu kŭlak akan dipŭnohi dŭngan sagala kalempahan Allah. Maka skarang, kapada Tuhan yang bŭrkwasa mŭmbuat tŭrlampau sangat lebih deripada sagala pŭrkara yang kami minta, atau yang kami sangkakan, mŭnurot kwasa yang ada bŭrlaku dalam kami, Maka kapadanyalah juga kiranya kamulian dalam sidang jŭmaah ulih Isa Almasih, sampie kapada sagala zaman duma yang tiada bŭrkasudahan: Amin.

EFESUS 3:8-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu, dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya. Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga. Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita; yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman. Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu. Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa, yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan. Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu. Semoga Kristus mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih, akan mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah. Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita, kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah dan dalam Kristus Yesus zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.