Efesus 3:8-21

Efesus 3:8-21 AVB

Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu, dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya. Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga. Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita; yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman. Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu. Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa, yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan. Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu. Semoga Kristus mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih, akan mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah. Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita, kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah dan dalam Kristus Yesus zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.