PENGKHUTBAH 9:1-18

PENGKHUTBAH 9:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Lama aku memikirkan hal itu dengan mendalam, dan aku mendapati bahawa Allah menguasai segala perbuatan orang yang bijak dan orang yang baik, bahkan jika mereka mengasihi atau membenci orang. Tiada sesiapa tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan. Memang tidak ada bezanya! Nasib yang sama menimpa setiap orang jujur mahupun orang derhaka, orang baik mahupun orang jahat, orang yang tahir mahupun orang yang najis, orang yang mempersembahkan korban mahupun orang yang tidak mempersembahkan korban. Orang baik tidak lebih bertuah daripada orang berdosa, dan orang yang bersumpah tidak lebih bertuah daripada orang yang tidak mahu bersumpah. Nasib manusia semuanya sama dan hal itu salah, seperti semua kejadian lain di dunia ini. Selama manusia hidup, fikiran mereka penuh dengan kejahatan dan kebodohan, dan tiba-tiba mereka meninggal. Tetapi sesiapa yang masih hidup di dunia ini mempunyai harapan. Bukankah anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati? Orang yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun. Mereka tidak mendapat ganjaran lagi, mereka telah dilupakan orang. Kasih, kebencian, dan nafsu mereka, semuanya lenyap bersama-sama mereka. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam apa-apa hal yang berlaku di dunia ini. Makanlah, minumlah, dan bergembiralah! Minumlah wain dan bergembiralah; Allah tidak melarangnya. Biarlah kamu sentiasa bergembira dan muka kamu berseri-seri. Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi, selama hidupmu yang sia-sia, yang diberikan Allah kepadamu di dunia ini. Nikmatilah setiap hari meskipun sia-sia sahaja kerana hanya itu yang kamu dapat untuk jerih payahmu. Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh, kerana di dunia orang mati tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi; ke sanalah kamu akan pergi. Ada lagi yang aku dapati di dunia ini: pelari yang pantas tidak selalu menang, dan orang yang berani tidak selalu menang dalam pertempuran. Orang bijak tidak selalu dapat mencari nafkah, orang berakal tidak selalu menjadi kaya, dan orang yang handal tidak selalu memperoleh kedudukan yang tinggi. Nasib malang boleh menimpa setiap orang. Manusia tidak tahu saat ketibaan bencana. Seperti burung yang terjerat, dan ikan yang terjala, begitu juga manusia ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka. Aku juga melihat contoh baik tentang bagaimana hikmat dihargai orang di dunia ini. Ada sebuah kota kecil dan penduduknya tidak ramai. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu, mengepungnya dan bersiap untuk merobohkan tembok kota itu. Di kota itu ada seorang miskin yang bijak. Dengan hikmatnya dia sebenarnya dapat menyelamatkan kota itu, tetapi tidak seorang pun ingat akan dia. Selama ini aku telah mengatakan bahawa hikmat lebih baik daripada kekuatan, tetapi hikmat orang miskin dihina. Perkataan orang miskin tidak dipeduli. Lebih baik mendengar kata-kata lembut orang yang berilmu daripada teriakan penguasa dalam perhimpunan orang bodoh. Hikmat lebih baik daripada senjata, tetapi seorang berdosa dapat merosakkan banyak hal yang baik.

PENGKHUTBAH 9:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kesemua hal ini kupertimbangkan dalam hatiku hingga dapat kunyatakan bahawa orang salih dan orang bijaksana dan segala perbuatan mereka ada dalam tangan Allah. Manusia juga tidak mengetahui baik kasih mahupun kebencian, malah apa-apa pun yang akan dihadapinya. Nasib yang sama menantikan semua manusia di bumi ini, baik yang salih mahupun yang fasiq, yang baik ataupun yang jahat, baik yang suci mahupun yang najis, baik yang mempersembahkan korban mahupun yang tidak mempersembahkan korban. Orang yang baik dan orang yang berdosa serta orang yang bersumpah dan juga orang yang takut bersumpah; semuanya menerima layanan yang sama. Malang sekali, dalam segala sesuatu yang terjadi di bawah matahari; nasib semua orang sama. Hati anak-anak manusia dipenuhi kejahatan dan kegilaan juga ada dalam hati mereka seumur hidup, dan kemudiannya mereka menuju dunia orang mati. Namun demikian, selagi dalam kalangan hidup, manusia masih ada harapan kerana anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati. Mereka yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang mati tidak mengetahui apa-apa lagi dan tiada upah bagi mereka, bahkan sudah lenyap kenangan terhadap mereka. Lenyap sudah segala perbuatan mereka baik kasih mereka mahupun kebencian dan iri hati. Mereka juga sudah tidak berperanan lagi dalam segala sesuatu yang berlaku di bawah matahari. Maka makanlah rotimu dan minumlah air anggurmu dengan riang kerana Allah sudah pun berkenan dengan perbuatanmu. Biarlah pakaianmu sentiasa kemas dan bersih serta sentiasa ada minyak di kepalamu. Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi sepanjang kesia-siaan hidupmu yang dianugerahkan Allah kepadamu di bawah matahari. Itulah bahagianmu dalam hidup dan dalam usaha jerih payahmu selama ini di bawah matahari. Usahakan dengan segala daya upaya apa-apa sahaja yang dikerjakan tanganmu kerana di alam kubur yang kamu tuju kelak tidak ada pekerjaan, perancangan, pengetahuan dan hikmah. Satu lagi yang kulihat di bawah matahari ialah perlumbaan tidak dimenangi baik oleh pelari yang pantas mahupun perjuangan diungguli mereka yang terkuat. Begitu jugalah tidak semestinya rezeki untuk yang bijaksana atau kekayaan untuk mereka yang bestari. Begitu juga kelebihan bukan khusus bagi kalangan yang mahir kerana masa dan nasib dialami mereka semua. Manusia tidak mengetahui bila waktunya tiba. Sebagaimana ikan yang terjebak di dalam jala dan seperti burung yang tertangkap di dalam jerat, demikian juga bencana menimpa anak-anak manusia secara tiba-tiba. Kulihat hal ini sebagai contoh hikmah di bawah matahari dan hal itu berkesan hebat terhadap aku. Sebuah kota kecil yang tidak ramai penduduknya diserang dan dikepung oleh tentera seorang raja yang agung. Lalu didirikan pelbagai kubu pengepungan yang besar di sekeliling kota itu. Seorang warga miskin yang bijaksana di kota itu menyelamatkan kota itu dengan hikmahnya namun tiada orang pun yang mengenang jasa si miskin itu. Kataku: “Hikmah tetap lebih baik daripada keperkasaan meskipun hikmah si miskin di kota itu diremehkan dan tidak dihiraukan orang.” Kata-kata orang bijaksana yang didengar dengan tenang, lebih baik daripada teriakan orang yang berkuasa dalam kalangan bodoh. Hikmah lebih baik daripada segala alat peperangan tetapi seorang pendosa memusnahkan banyak kebaikan.